Pertikaian projek perintis penempatan pegawai polis di JAIS

Astro Awani
Mei 3, 2016 19:07 MYT
Kumpulan G25 menzahirkan kebimbangan mengenai tuntutan yang menjenayahkan dosa peribadi dan pengawasan moral. - Gambar hiasan
MERUJUK kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha, dua pegawai polis dan seorang sarjan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membantu mengendalikan kes syariah.
Projek ini adalah projek perintis yang akan diperluaskan ke jabatan agama negeri lain, pada masa yang akan datang.
Pegawai polis ini akan membantu JAIS memberi khidmat nasihat serta berkongsi kepakaran untuk melaksanakan operasi penguatkuasaan. Selain itu, JAIS boleh menggunakan jaringan untuk mendapatkan bantuan lebih anggota polis jika perlu.
Kumpulan G25 dan kumpulan NGO Islam yang sekata sering menyarankan kebimbangan kami mengenai tuntutan yang menjenayahkan dosa peribadi dan pengawasan moral.
Kami juga ingin menekankan yang sumber terhad PDRM harus dialirkan untuk membanteras aktiviti jenayah, yang sebenarnya yang berlaku di jalanan serta kawasan perumahan, yang melibatkan keselamatan awam.
Survei baru-baru ini menyenaraikan Malaysia sebagai salah satu negara terbahaya di Asia, bersabit kadar jenayah yang tinggi.
Penduduk awam mengharapkan agar PDRM menggunakan sumber yang sedia ada untuk melaksanakan fungsi utamanya.
Di bawah Akta Polis 1967, ia termasuk memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekalkan keamanan dan keselamatan Malaysia, mencegah dan mengesan jenayah, menangkap dan mengesan dan mendakwa pesalah dan mengumpul risikan keselamatan.
Pengawasan moral tidak terkandung dalam senarai tugas PDRM di bawah Akta Polis. Persoalannya ialah, adakah PDRM berkuasa untuk menguatkuasakan kesalahan syariah di bawah Akta Polis?
Jenayah jalanan
Ada beberapa laporan yang merujuk kepada kematian dan kecederaan yang bersabit dengan jenayah jalanan.
Statistik jenayah rompak yang tinggi membebankan lagi mereka yang terpaksa berbelanja lebih yang kini perbelanjaan mereka sudahpun tinggi untuk mengawasi kawasan perumahan dengan kos mengupah syarikat pengawal keselamatan.
Mengekalkan keamanan dan keselamatan awam jauh lebih penting daripada mencari keaiban seseorang yang kesalahannya bukan berbentuk jenayah, tetapi dosa peribadi di antaranya dan Allah.
Pengawasan moral tidak akan menambahbaikkan kualiti hidup rakyat Malaysia yang menetap di bandar. Mencegah dan mengesan jenayah itu sudah tentu jauh lebih dihargai rakyat.
Memelihara keselamatan penting untuk mengekalkan kesuburan perniagaan dan pelaburan. Amat kritikal yang PDRM menumpukan sumber-sumber yang sedia ada untuk mencegah jenayah dan menambahbaikkan keselamatan awam. Mengenepikan pengawasan moral tidak akan memberi impak kepada keselamatan awam.
Adakah wajar yang jabatan-jabatan agama negeri membebankan sumber terhad PDRM?
Situasi kini yang berpunca dari kadar harga minyak yang menurun mengakibatkan kadar pertumbuhan ekonomi tersentap. Ia mendesak agar sumber-sumber sedia ada diagihkan untuk perbelanjaan yang penting dan perlu.
Sumber-sumber yang berlebihan tidak begitu wajar untuk diagihkan kepada pengawasan moral memandangkan keadaan itu bukan keutamaan. Kerajaan Arab Saudi juga kini sedang mempertikaikan pengawasan moral. Malaysia juga wajar berbuat sedemikian.
PDRM harus mempertahankan reputasi profesionalnya sebagai penguatkuasa undang-undang. G25 khuatir yang penglibatannya dalam pengawasan moral akan menggelapkan sistem perundangan di Malaysia, terutama sekali jika terjadinya perbuatan PDRM didapati melampaui batas dan polis menahan orang awam yang tidak bersalah untuk kesalahan yang dilakukan dengan nama Allah.
Perlakuan polis sebegini yang mengambil tindakan kerana perhubungan peribadi yang dikategorikan sebagai jenayah akan menakutkan pelancong asing seterusnya melumpuhkan satu daripada industri negara yang terbesar yang kadar pertumbuhannya yang baik.
Satu lagi kebimbangan penggunaan kuasa polis untuk kesalahan Islam, implikasi dan persepsi yang boleh disimpulkan ialah ia adalah satu cara untuk menekankan kelampauan ke-Islaman di negara ini.
Ini bukan saja menjauhkan lagi pelabur dan pelancong asing, malah ia mencemaskan rakyat Malaysia juga. Yang paling dikhuatiri ialah kuasa polis diambil alih institusi Islam, mengakibatkan Malaysia tidak lagi sekular dan terperangkap dengan kelampauan yang bertopengkan Islam.

*Tunku Munawirah Putra menulis artikel ini bagi pihak kumpulan bekas penjawat awam 25 Melayu Terkemuka (G25).
** Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#G25 #JAKIM #NGO Islam #Penempatan polis di JAIS #perundangan #Tunku Munawirah Putra
;