Pertikaian politik: Guna nama penjawat awam boleh jatuhkan reputasi perkhidmatan - Cuepacs

Bernama
Julai 25, 2024 14:20 MYT
Adnan berkata tindakan mengheret perkhidmatan awam ke Dewan Rakyat bukan sahaja memberi kesan negatif bahkan tidak adil kepada penjawat awam yang tidak dapat membuat sebarang pembelaan atau penjelasan. - Gambaer fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Tindakan sesetengah ahli politik yang sesuka hati menggunakan nama penjawat awam dalam pertikaian politik adalah sangat tidak bertanggungjawab kerana boleh menjatuhkan reputasi perkhidmatan awam yang telah bertungkus lumus membangunkan negara.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Dr Adnan Mat berkata tindakan mengheret perkhidmatan awam ke Dewan Rakyat bukan sahaja memberi kesan negatif bahkan tidak adil kepada penjawat awam yang tidak dapat membuat sebarang pembelaan atau penjelasan.
"Sebagaimana peraturan yang mengehadkan penglibatan penjawat awam daripada mengambil bahagian dalam politik, perkara tersebut perlu dihormati pemimpin politik dengan tidak mengaitkan institusi perkhidmatan awam dan anggotanya dengan sebarang pertikaian politik semasa.
"Apatah lagi sekiranya sesuatu perkara yang belum ditentukan kesahihan itu dibawa ke perbahasan di dalam Dewan Rakyat. Penjawat awam sentiasa mendukung mana-mana kerajaan yang memerintah tanpa mengira latar belakang politik yang mengetuai tampuk kepimpinan kerajaan," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Cuepacs berharap semua pihak dapat menghormati institusi perkhidmatan awam dan tidak mengaitkan warganya dengan mana-mana pertikaian politik kerana prinsip yang didukung oleh penjawat awam adalah neutral serta profesional dalam melaksanakan tugasan masing-masing.
"Cuepacs berharap semua pihak boleh terus bekerjasama dengan baik demi kebaikan rakyat dan pembangunan negara," katanya.
Pada 18 Julai lepas, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan susulan tindakan beliau membangkitkan isu membabitkan sepucuk surat layang yang kononnya mengenai dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad.
Perkara itu berlaku semasa perbahasan Laporan Tahunan serta Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia Tahun 2021 dan Tahun 2022 pada 1 Julai lepas yang turut menamakan individu terbabit yang dipetik daripada surat layang berkenaan iaitu pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengumumkan penggantungan Wan Ahmad Fayhsal selepas usul menggantung beliau daripada Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa Pilihan mendapat sokongan 110 Ahli Parlimen manakala 63 tidak bersetuju menerusi undi belah bahagian, tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.
Sementara itu, Ahli Parlimen dinasihat agar tidak mudah mempercayai sebarang surat layang tanpa bukti yang kukuh terutama melibatkan penjawat awam dan bertindak menyebarkan ia tanpa menyelidik kesahihannya terlebih dahulu.
Setiausaha Agung CUEPACS Abdul Rahman Mohd Nordin berkata sebagai wakil rakyat, Ahli Parlimen seharusnya menunjukkan contoh yang baik dari segi tutur kata dan tindakan sewaktu persidangan.
"Ikut peraturan dalam Parlimen, jika benda itu tak ada bukti, ia tidak sesuai dibawa ke Parlimen, kena rujuk balik, bincang dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, kita kena jaga aib sesama kita supaya benda ini tak jadi fitnah.
"Benda-benda fitnah, tidak ada asas, tak ada bukti ini janganlah ditumpukan sebab di Parlimen, rakyat semua dengar, kalau benda itu betul tak apa. Kalau tak betul, jadi fitnah, jadi akan menampakkan keburukan Ahli Parlimen itu sendiri," katanya menerusi program Malaysia Petang Ini bertajuk 'Hentikan Fitnah Terhadap Penjawat Awam' terbitan Bernama TV.
Abdul Rahman berkata amalan menyebarkan surat layang dalam kalangan penjawat awam bukanlah kaedah terbaik bagi menyelesaikan sesuatu masalah sebaliknya banyak menimbulkan fitnah kepada golongan yang tidak bersalah.
Beliau berkata jika terdapat ketidakpuasan hati berhubung tingkah laku atau sikap seseorang penjawat awam, mereka boleh menyalurkannya melalui saluran yang betul.
"Setiap jabatan ada Biro Pengaduan Awam, bahagian undang-undang, ia boleh menyiasat benda itu betul atau tidak, tak boleh terus buat surat layang nanti timbul fitnah dan tuduhan tidak berasas, sebolehnya jumpa terus individu (terbabit) kalau perkara tersebut boleh dibincangkan," katanya.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #KWSP #penjawat awam #cuepacs