Pertikai isi khutbah derhaka kepada institusi diraja - Mufti Pahang

Bernama
September 18, 2013 21:30 MYT
Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Othman menyifatkan tindakan pihak tertentu yang mempertikaikan kandungan khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam negeri pada 6 Sept lepas sebagai satu penderhakaan kepada institusi diraja.
Katanya tindakan itu ternyata menghina institusi diraja di negara ini yang merupakan pemegang tampuk agama Islam dan tindakan biadab itu akan mencalarkan keharmonian antara agama dan kaum.
"Tugas menyediakan khutbah Jumaat oleh Jakim atau Jabatan Agama Islam negeri adalah mendapat perkenan (Yang di-Pertuan Agong bagi Jakim) dan Sultan (negeri-negeri), jadi semua pihak harus menghormatinya.
"Kalau sehingga khutbah Jumaat pun mereka turut mencampuri, saya rasa perkara ini sangat bahaya kerana khutbah ini adalah milik dan ibadah umat Islam," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Seminar Memperkasakan Aqidah Siri 1: Fahaman Syiah Dan Bahayanya Terhadap Umat Islam di sini hari ini.
Beliau berkata selama ini belum pernah terjadi di negara ini orang bukan Islam mencampuri urusan agama Islam seperti mengambil tahu kandungan khutbah Jumaat.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengulas kenyataan pemimpin PAS dan juga anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad dan Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) Rev Dr Eu Hong Seng yang membidas Jakim sebagai keterlaluan mempertahankan kalimah Allah daripada digunakan oleh orang bukan Islam di negara ini.
#Abdul Rahman Othman #khutbah #mufti
;