Pertikai ibadah korban: Ambil tindakan terhadap Siti Zabedah Kassim dan David Orok
Noraniza Kamsani
September 12, 2017 16:10 MYT
September 12, 2017 16:10 MYT
Pemuda Pas Pahang menggesa pihak polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap Siti Zabedah Kassim dan David Orok kerana menghina Islam melalui status Facebook mengenai ibadah korban.
Ketua Pemuda Pas Pahang, Mohamad Hazmi Dibok berkata, status yang dimuatkan oleh Siti Zabedah pada 1 dan juga 10 September lalu yang menyimpang dan menyesatkan mengenai pengorbanan.
Justeru katanya, pihaknya bersama beberapa Pas Kawasan membuat tujuh laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan terhadap status Facebook berkenaan.
"Selain itu, pada 5 September lalu juga satu lagi status yang mengelirukan oleh pemilik Facebook David Orok dimuat naik yang mengina Nasi Ismail dan Nabi Ibrahim," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, hari ini.
Katanya, status berkenaan adalah satu dakyah penyelewangan fakta dan cuba mewajarkan keterangan secara bohong dan palsu.
"Status berkenaan yang melampau dan boleh menyebabkan rasa tersinggung di kalangan umat Islam sehingga boleh membangkitkan kemarahan orang Islam," katanya,
Katanya, kesemua ini boleh ditafsirkan sebagai menentang Perlembagaan Negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan menentang serta mencabar Yang Di-Pertuan Agong selaku penaung agama Islam bagi Malaysia.
Beliau berkata, tidak kira apa kaum sekali pun di negara ini sama ada Melayu, Cina, India dan sebagainya perlu sama-sama menghormati agama orang lain.
"Selain itu, ia juga bersifat ancaman serta menggugat ke atas ketenteraman awam dan kedaulatan negara.
"Justeru saya minta polis supaya membuat siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Kita mahu tindakan undang-undang diambil. Heret mereka yang terlibat ke muka pengadilan," katanya.
#David Orok
#Facebook
#Kuantan
#Mohamad Hazmi Dibok
#Siti Kasim
#Siti Zabedah Kassim
#Yang di-Pertuan Agong