Pertemuan Speaker: Keterjaminan makanan, perubahan iklim antara topik perbincangan - Johari

Astro Awani
Oktober 2, 2023 19:39 MYT
Johari (kanan) bersalaman bersama Maharani selepas mengadakan mesyuarat dua hala di Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Parlimen ASEAN, isu keterjaminan makanan, perubahan iklim dan tenaga boleh baharu.
Itu merupakan antara topik utama perbincangan dalam mesyuarat dua hala melibatkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia, Puan Maharani Nakshatra Kusyala Devi.
Mesyuarat melibatkan dua negara itu adalah merupakan langkah berterusan Parlimen Malaysia dalam meningkatkan kerjasama pelbagai hala antara Parlimen di negara Asia Tenggara.
Johari berkata, pertemuan itu juga melibatkan pertukaran idea melibatkan akademia dan penyelidik dari kedua-dua negara dalam usaha menyelesaikan beberapa isu membelenggu wilayah ini.
“Sebab saya kira indonesia dan Malaysia ada persamaan dan ini yang harus kita terokai dgn inovasi-inovasi yang baharu supaya AI (kecerdasan buatan) dapat kita gunakan.
“Saya yakin ini akan membantu negara kita Indonesia dan Malaysia, negara ASEAN dan akhirnya apabila anjakan ekonomi beralih ke Asia dan kita yakin Asia akan menjadi lebih teratur dan lebih hebat.
“Kebangkitan Asia ini tak dapat dibendung lagi. Jadi apakah persiapan kita dalam menerima kebangkitan ini dan kita mesti dahului ini dengan persiapkan anak muda dengan ilmu dan pengetahuan dalam kita menerima kebangkitan Asia ini,” katanya.
Tambah Johari, mesyuarat tersebut turut membincangkan peningkatan usaha pelaburan rentas sempadan dan pertukaran teknologi antara dua negara dalam bahagian kecerdasan buatan.
Selain itu, isu pertanian, pertukaran mahasiswa dan kebajikan tenaga kerja Indonesia di Malaysia juga menjadi antara topik perbincangan antara kedua-dua negara.
Untuk rekod, Johari pada 4 hingga 11 Ogos lepas mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Umum Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN Ke-44 di Jakarta, bertemakan “Parlimen Responsif untuk ASEAN yang Stabil dan Makmur”.
Mesyuarat mengumpulkan delegasi daripada sembilan Parlimen negara Asia Tenggara itu membincangkan peranan Parlimen agar lebih anjal dan responsif terhadap pelbagai krisis di rantau ASEAN melalui prinsip kesatuan dan pemusatan serantau.
#ASEAN #Indonesia #Dewan Rakyat #Johari Abdul
;