Pertemuan PM, Presiden Jerman terarah isu produk berasaskan sawit
Irfan Faruqi
Mac 11, 2024 06:15 MYT
Mac 11, 2024 06:15 MYT
BERLIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan perihal perdagangan produk berasaskan sawit dalam pertemuannya bersama Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, dalam pertemuan pada Isnin itu, kedua-dua pemimpin turut menyentuh isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama.
"Kami mengadakan perbincangan terkait isu yang menjadi kepentingan bersama kedua-dua negara, antaranya melibatkan minyak sawit, produk berasaskan sawit, pendidikan serta perdagangan dan pelaburan," menurut kenyataan berkenaan.
Untuk rekod, Malaysia mencatat nilai eksport minyak sawit berjumlah RM40.51 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023 dengan kuantiti eksport sebanyak 9.66 juta tan
Media juga melapokan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Januari tahun lalu berkata, Malaysia mungkin mempertimbangkan untuk menghentikan eksport minyak sawit kepada Kesatuan Eropah (EU) sebagai tindak balas terhadap peraturan penebangan hutan baharu yang dicadangkan EU.
Menurutnya, tindakan itu adalah antara pilihan yang boleh dilakukan negara bagi menangani kempen EU yang sejak beberapa tahun lepas agak negatif terhadap industri minyak sawit.
Selain itu, pertemuan empat mata berkenaan turut membincangkan permasalahan global.
Perdana Menteri sekali lagi mengulangi pendirian Malaysia bersama dengan perjuangan Palestin.
"Kami turut menyentuh isu global dan sudah pastinya meliputi perkembangan di Palestin yang mana ia memerlukan bantuan kemanusiaan berterusan daripada semua pihak serta usaha menghentikan kekejaman rejim zionis," kata beliau.
Kunjungan hormat Anwar ke atas Steinmeier berlangsung di Belllevue Palace, Berlin.
Ini merupakan kunjungan balas Perdana Menteri selepas Steinmeier mengadakan lawatan ke Malaysia tahun lalu.
#PM Anwar Ibrahim
#lawatan rasmi ke Jerman
#Presiden Frank-Walter Steinmeier
#produk berasaskan sawit