Pertemuan PM Anwar-Kishida nilai kemajuan kerjasama Malaysia-Jepun
Nabilah Khaleeda
Mei 23, 2024 15:32 MYT
Mei 23, 2024 15:32 MYT
TOKYO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Jepun, Fumio Kishida pada Khamis.
Menurut kenyataan di laman sosial beliau, menerusi pertemuan itu, kedua pemimpin dapat menilai kemajuan kerjasama antara Malaysia dan Jepun meliputi pelbagai bidang.
Antaranya termasuk pelaburan, perdagangan, teknologi tinggi, peralihan tenaga, kerjasama alam sekitar, pertahanan dan keselamatan, pembangunan keupayaan dan bakat serta pendidikan tinggi.
“Kami berdua juga turut menyentuh isu-isu lain yang menjadi kepentingan bersama termasuk konflik di Palestin yang mana saya sekali lagi menyatakan solidariti buat rakyat negara itu.
“Jepun juga telah menyatakan kesudian untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin melingkupi aspek kesihatan, pengurusan sisa pepejal dan pembangunan semula kawasan yang musnah," katanya.
Dalam pada itu, Anwar berharap agar hubungan dengan Jepun terus diperkasa sekali gus dapat menarik minat lebih banyak pelaburan demi kemajuan dan potensi ekonomi.
Anwar kini berada di Tokyo, Jepun untuk lawatan kerja tiga hari bermula Rabu.
Beliau yang mengetuai delegasi Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo sekitar jam 9 malam waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia) dengan pesawat khas dari Kuala Lumpur.