Pertemuan pemimpin politik dengan Agong legakan rakyat - Peguam
Astro Awani
Jun 9, 2021 14:03 MYT
Jun 9, 2021 14:03 MYT
KUALA LUMPUR: Pertemuan pemimpin politik dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah di Istana Negara melegakan rakyat, kata peguam bela dan peguam cara, Datuk Salehuddin Saidin.
Jelasnya, ia membuktikan Al-Sultan Abdullah sentiasa bersedia untuk bersama rakyat melalui pemimpin dan ketua-ketua parti politik membincangkan langkah sebaiknya untuk diambil kerajaan terutama dalam situasi pandemik COVID-19 hari ini.
"Sebab ada melihat adakah wajar darurat ini berterusan dalam keadaan pandemik yang masih tidak berkurangan, itu persoalan yang sering rakyat ajukan.Jadi apakah peranan tempoh darurat ini bagi menangani masalah pandemik.
"Tetapi untuk menjawab kepada persoalan itu, banyak isu yang perlu kita lihat, ketika darurat itu, apakah yang kerajaan boleh lakukan ketika tempoh darurat, ini semua perlu dibincangkan dan diperhatikan kerana ia memberi kesan kepada kita," katanya semasa sidang video pada Rabu.
BACA: Menghadap Yang di-Pertuan Agong: Pembentukan kerajaan baharu tidak dibangkitkan - Anwar Ibrahim
Jelasnya, proses melontarkan idea oleh pemimpin politik kepada kerajaan masih boleh dilakukan dengan pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong walaupun sesi Parlimen ditutup.
Ujarnya cara yang digunakan beberapa negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) boleh juga digunakan oleh Kerajaan Persekutuan dalam mengatasi isu pandemik.
Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu pembentukan kerajaan baharu tidak dibangkitkan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Sebelum itu pada sebelah pagi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Secara kebiasaannya, Muhyiddin selaku Perdana Menteri akan menghadap Seri Paduka sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung pada Rabu, bagi menyembah maklum perkembangan pentadbiran negara.
#Anwar Ibrahim
#Muhyiddin Yassin
#PKR
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#pandemik
#COVID-19
#Yang di-Pertuan Agong
#Perdana Menteri
#kabinet
#menghadap Agong
#Salehuddin Saidin