Pertemuan dua hala bincang pelbagai isu libatkan Malaysia, negara ASEAN
Ridauddin Daud
Mei 11, 2023 09:50 MYT
Mei 11, 2023 09:50 MYT
LABUAN BAJO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan empat pertemuan dua hala bersama pemimpin ASEAN semasa menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia pada 10 Mei 2023.
Pertemuan dua hala pertama adalah ke atas Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersama Pengiran Muda 'Abdul Mateen Bolkiah.
Dalam kunjungan hormat ke atas Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri menyampaikan hasrat Putrajaya selaku tuan rumah untuk melihat kehadiran dan keterlibatan Bandar Seri Begawan dalam Annual Leaders’ Consultation (ALC) pada tahun ini.
Selain itu, perbincangan juga terarah kepada bidang pelaburan, penandaan tanah, kerjasama dalam kebudayaan dan pendidikan untuk dimanfaatkan kedua-dua negara.
Sementara itu, dalam pertemuan bilateral dengan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh pula, PM Anwar menyatakan keterbukaan Malaysia menerima kehadiran delegasi mereka ke Putrajaya sempena ulangtahun ke-50 kedua-dua negara.
Pertemuan itu juga membincangkan isu pelaburan selain disuarakan harapan agar isu pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia dapat ditangani setegasnya.
Perdana Menteri juga sempat mengadakan pertemuan bilateral dengan rakan sejawat dari Laos, Sonexay Siphandone.
Kedua-dua Perdana Menteri sepakat untuk lebih bekerjasama dalam bidang perbankan, program latihan pegawai dan diplomat selain pendidikan serta industri agrikultur.
Terakhir, Perdana Menteri bertemu rakan sejawat dari Timor Leste, Taur Matan Ruak dan Anwar mengulangi sokongan penuh berkaitan permohonan republik itu dalam keanggotaan keluarga ASEAN.
Kedua-dua pemimpin juga membincangkan keperluan meningkatkan peluang kerjasama dalam pelaburan, perdagangan, agrikultur, dan bidang pembuatan makanan yang menuntut kebersamaan serta komitmen berterusan kedua-dua negara.