RIYADH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Kuwait, Sabah Al-Khalid Al-Sabah.

Semasa pertemuan berkenaan, Anwar menyampaikan ucapan tahniah kepada Kuwait yang akan menjadi Pengerusi Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bermula Disember depan.

Beliau turut memanjangkan jemputan untuk Kuwait menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+China pada Mei 2025 di Kuala Lumpur.

Jelas Perdana Menteri, ini sekali gus mampu mengukuhkan usaha Malaysia untuk mengemudi usaha pengukuhan kerjasama dengan negara Asia Barat.

“Selain itu, kami juga komited untuk mempertingkatkan lagi hubungan dua hala, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara,” jelas Perdana Menteri.

Kuwait merupakan negara yang berpendapatan tinggi mempunyai 6 peratus daripada rizab minyak global.