Pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, PM dijadual terima sambutan rasmi

Shafizan Johari
Oktober 19, 2023 05:45 MYT
Anwar Ibrahim disambut oleh Timbalan Gabenor Riyadh, Putera Mohammed bin Abdulrahman (kiri) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pertama ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk. - Foto BERNAMA
RIYADH: Perdana Menteri tiba di Terminal Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, Riyadh pada Khamis dalam rangka lawatan rasmi beliau ke Arab Saudi.
Beliau yang tiba menggunakan pesawat khas pada sekitar jam 8.00 malam waktu disambut oleh Putera Mohamed bin Abdulrahman bin Abdulaziz, Timbalan Gabenor Wilayah Riyadh.
Turut menyambut ketibaan beliau ialah Menteri Luar Datuk Seri Zambry Kadir dan Duta Malaysia ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.
Perdana Menteri dijadual menghadiri Sidang Kemuncak GCC-ASEAN pada sebelah pagi dan dijangka melakukan tiga pertemuan bilateral dengan pemimpin-pemimpin GCC.
Anwar turut dijadual meluangkan masa untuk bertemu dengan komuniti diaspora Malaysia di Arab Saudi pada sebelah petang sebelum mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim Dr Mohammad bin Abdulkarim Al-Issa.
Pada Sabtu pula, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan komuniti perniagaan, dimulakan dengan pertemuan bersama Presiden dan CEO ARAMCO, Amin Nasser, disusuli dengan pertemuan dengan beberapa pembentangan perniagaan oleh syarikat seperti Ajlan Brothers, Alameriah Real Estate Development dan MobilityOne.
Sebelum berangkat pulang ke tanah air, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota, merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman di mana Perdana Menteri dijadual menerima sambutan rasmi.
Ini merupakan kunjungan kali kedua Anwar ke Arab Saudi sebagai Perdana Menteri.
#PM Anwar Ibrahim #Arab Saudi #Putera Mahkota Mohammed bin Salman #Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-GCC
;