Pertemuan Darrel Leiking, rakan sejawatan dari India di Davos ditunda kerana jadual padat
Astro Awani
Januari 20, 2020 20:54 MYT
Januari 20, 2020 20:54 MYT
Permohonan untuk pertemuan antara Menteri Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Darrel Leiking dan Menteri Keretapi, Perdagangan dan Industri India, Piyush Goyal pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos tidak dapat diadakan kerana jadual padat kedua-dua menteri berkenaan.
Pada awalnya, hasrat Darrel dan Piyush untuk bertemu adalah untuk membincangkan mengenai isu perdagangan dan pelaburan dua hala.
Dalam masa sama, MITI berkata, permohonan rasmi untuk mengadakan pertemuan itu dikemukakan oleh pejabat Menteri Keretapi, Perdagangan dan Industri India pada 24 Disember tahun lalu.
"Malaysia sudah cuba untuk melaksanakan permohonan dari India tetapi memandangkan jadual padat kedua-dua menteri, satu persetujuan telah dicapai untuk tidak mengadakan mesyuarat rasmi.
"Bagaimanapun, terdapat kemungkinan berlakunya pertemuan tidak rasmi yang akan disusuli dengan perbincangan membabitkan kepentingan dua hala," jelas MITI dalam kenyataan yang diedarkan.
Kenyataan tersebut turut menyatakan Darell berbesar hati untuk mengadakan mesyuarat seumpamanya khususnya berkaitan penyertaan India di rantau yang diterajui ASEAN iaitu Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Pada 8 Januari lalu, kerajaan India bertindak mengenakan sekatan terhadap import minyak sawit bertapis dari Malaysia atas alasan bagi melindungi pihak penapis domestik.
Untuk rekod, India bergantung kepada pengimportan 70 peratus daripada keperluan minyak makannya manakala minyak sawit Indonesia dan Malaysia menyumbang hampir dua pertiga daripada import tahunan minyak sayuran sebanyak 15 juta tan.
Kerajaan India pada Januari bertindak menguatkuasakan pengurangan duti import ke atas minyak sawit mentah (MSM) kepada 37.5 peratus daripada 40 peratus manakala minyak bertapis kepada 45 peratus daripada 50 peratus.
#Darell Leiking
#Forum Ekonomi Dunia
#India
#kelapa sawit
#Kementerian Perdagangan dan Industri India
#MITI
#Piyush Goyal