Pertemuan Anwar-Jokowi selesaikan pelbagai isu tertangguh

Umavathi Ramayah
Jun 8, 2023 13:22 MYT
Lawatan Jokowi disifatkan cukup signifikan dalam usaha meningkatkan hubungan erat yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Pertemuan empat mata antara pemimpin tertinggi Malaysia dan Indonesia hari ini mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan kesepakatan bagi menyelesaikan pelbagai isu melibatkan kedua-dua negara yang tertangguh sejak berpuluh tahun.
Sambil menyifatkan keakraban dua negara jiran itu sebagai luar biasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, perkara itu terbukti dalam sejarah hubungan dua hala Malaysia-Indonesia sekian lama.
"Kerjasama dua hala Malaysia-Indonesia sampai ke tahap yang sangat membanggakan dan (perjanjian persefahaman - MoU) ini akan memberi faedah dan manfaat bukan sahaja kepada pemerintah dan kerajaaan tetapi juga kepada rakyat Malaysia dan Indonesia
"Umpamanya kalau kita teliti beberapa perjanjian hari ini, dalam pertemuan saya di Bagor (Indonesia), Presiden secara santai beritahu saya - Anwar rundingan ini dah berpuluh tahun tidak mampu selesaikan... jadi komitmen Presiden itu sangat jelas.
"Itu sangat akrab dan memudahkan, saya berbangga pemimpin kedua-dua negara hari ini, kita dapat selesaikan satu isu yang telah kita runding selama berpuluh tahun," katanya dalam sidang media bersama di
Kompleks Seri Perdana, di sini pada Khamis.
Anwar dan Presiden Indonesia, Joko Widodo turut menyaksikan pertukaran enam instrumen perjanjian dua hala.
Joko Widodo atau lebih dikenali Jokowi dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula Rabu.
Jokowi diiringi isterinya, Iriana Joko Widodo serta menteri Kabinet dan pegawai kanan republik itu.
Lawatan Jokowi disifatkan cukup signifikan dalam usaha meningkatkan hubungan erat yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Kali terakhir Jokowi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia adalah pada 2019, selepas dilantik semula bagi penggal kedua menerusi Pilihan Raya Presiden pada 17 April.
#Anwar Ibrahim #Joko Widodo #Jokowi #lawatan ke Malaysia
;