Pertempuran di Marawi beri peringatan tentang pengaruh Daish semakin meningkat di Asia Tenggara
Bernama
Julai 3, 2017 10:32 MYT
Julai 3, 2017 10:32 MYT
Pertempuran selama sebulan bagi menguasai bandar Marawi di Mindanao antara tentera Filipina dan militan yang bersumpah taat setia kepada pemimpin Daish (Negara Islam), Abu Bakar al-Baghdadi memberi peringatan supaya tidak memandang ringan terhadap ancaman kumpulan pengganas itu di Asia Tenggara.
Pertempuran sengit di jalanan di Marawi yang meragut nyawa beratus-ratus tentera kerajaan, militan dan orang awam menunjukkan pengaruh Daish yang semakin meningkat di Asia Tenggara walaupun ramai anggota kumpulan pengganas itu terbunuh dalam pertempuran dan keruntuhan pengaruhnya di Iraq dan Syria.
Menurut seorang pakar anti keganasan, kekalahan yang dialami oleh Daish di Timur Tengah mungkin melalaikan kebanyakan kerajaan di Asia Tenggara sehingga memperkecilkan ancaman yang semakin menular oleh kumpulan pengganas itu di rantau tersebut.
"Negara Islam (Daish) adalah jauh lebih maju di Asia Tenggara daripada yang diramalkan sebelum ini," kata Phill Hynes, ketua penganalis politik dan risiko di ISS Risk yang berpusat di Hong Kong semasa perbincangan panel bertajuk "Bolehkah Asia Tenggara menjadi Barisan Hadapan Baharu Negara Islam" di Kelab Wartawan Asing Thailand baru-baru ini.
Pertempuran di Marawi menunjukkan keupayaan kumpulan militan tempatan yang bergabung dengan Daish, Maute dan Abu Sayyaf, untuk merancang dan menggerakkan operasi keganasan besar-besaran seperti menawan dan menduduki bandar tepi pantai di selatan Filipina itu yang didiami oleh 200,000 penduduk.
Keupayaannya bertahan selepas lebih sebulan diserang oleh tentera Filipina yang mempunyai persenjataan yang lebih lengkap termasuk serangan udara membuktikan lagi keupayaan ketenteraan Daish dan keyakinannya yang semakin meningkat.
Kumpulan militan tempatan yang berkubu di Marawi dikatakan diketuai oleh pengganas paling dikehendaki Isnilon Hapilon sehingga kerajaan Amerika Syarikat menawarkan ganjaran US$5 juta bagi penangkapannya.
Menurut Hynes, perkembangan di Marawi juga boleh membangkitkan "inspirasi" kepada kumpulan pengganas iu, yang seterusnya dapat menarik lbih ramai anggota dari luar untuk mengalih perhatian ke rantau Asia Tenggara sebagai medan pertempuran baharu.
"Pertempuran di Marawi menjadi inspirasi bagi pengikut Daish, tidak semestinya sebagai percubaan untuk mewujudkan "wilayah" di Asia Tenggara. Ia adalah untuk meniupkan inspirasi kepada semua orang, memberi inspirasi kepada pengikut dan mewujudkan momentum," kata pakar itu.
Beliau berkata, negara-negara di rantau ini perlu meningkatkan keupayaan mereka untuk menangani ancaman ancaman yang dicetuskan oleh Daesh dan para penyokongnya dan tidak mengalami nasib yang sama seperti Filipina.
Pakar itu melahirkan rasa terkejut terhadap kegagalan perisikan Manila untuk menjangka dan meramalkan pergerakan militan di Marawi, yang menurut beliau betapa menunjukkan ketidakupayaan Filipina sebagai rangkaian paling lemah di rantau ini dalam memerangi Daish.
Seorang lagi anggota panel perbincangan, Endy Bayuni, editor kanan Jakarta Post berkata ideologi ganas yang ditonjolkan oleh Daish gagal menarik sebilangan besar pengikut dan penypkong di Indonesia, walaupun ngara itu memp[unyai jumlah penduduk Islam paling ramai di dunia.
"Daesh tidak popular di Indonesia,"" kata beliau dan dan yang menganggarkan bilangan rakyat Indonersia yang terpengaruh dengan ideologi itu kira-kira 500 orang sambil berkata pendekatan kesederhanaan yang diamalkan oleh negara itu kepada Islam ialah antara sebab utama penolakan ideologinya oleh sebilangan besar penduduk.
Beliau menyifatkan beberapa insiden melibatkan penyokong Daish di negara itu sebagai kes terpencil dan tidak memberi gambaran sebenar Indonesia sebagai sebuah negara Islam yang sederhana.
Sementara itu, seorang lagi anggota panel perbincangan, Rungrawee Chalermsripinyorat berkata, Thailand kekal bebas daripada sebarang masalah berkaitan Daish.
"Tidak ada bukti kukuh mengenai pengaruh Daish di negara ini," menurut beliau.
Malah kumpulan militan di selatan Thailand menolak ideologi "Salafi-Jihadi" yang menjadi pegangan dan membentuk teras pemikiran anggota Daish. - BERNAMA