Pertaruh nyawa demi negeri tercinta - Bekas perajurit negara
Hasimi Muhamad
September 16, 2019 09:57 MYT
September 16, 2019 09:57 MYT
Rezeki untuk berbakti kepada negeri kelahiran sebaik sahaja menamatkan latihan ketenteraan pada 1974 menjadi antara kenangan paling indah buat perajurit negara, Kapten (B) Hadzli Awi.
Menurut bekas anggota tentera itu, beliau tidak menyangka diarah pulang ke tempat asalnya dan berkhidmat di Kem Lundu, Sarawak, selepas selesai menjalani latihan lanjutan di Kem Terendak, Melaka.
Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan itu, siapa sangka sebenarnya tugas besar menanti Hadzli, yang ketika itu berusia 24 tahun dan masih “setahun jagung” dalam dunia ketenteraan.
“Pada tahun 1974, kita orang baru (tentera), kadang-kala rasa takut. Walaupun pada masa itu konfrontasi sudah habis, tetapi saki-baki komunis masih berkeliaran. Jadi, memang rasa tertekan.
“Apabila menjalankan tugas, kita sentiasa mengutamakan keselamatan diri,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Tanjung Bundong, Samarahan, baru-baru ini.
Bercerita lanjut pengalamannya, bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, anggota keselamatan diarahkan membuat kawalan ketat kerana pemberontakan komunis melibatkan Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) masih wujud di Sarawak pada tahun 70-an.
Namun, berbekalkan semangat, anak muda itu bersama pasukan lain nekad mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan negara tercinta.
Jelas Hadzli, beliau pernah berdepan detik yang paling mencabar dalam kerjayanya iaitu ketika bertempur dengan PKKU.
“Tugas kita bermula pada awal Subuh. Kita telah diarah untuk mengesan musuh. Kami memasuki hutan belantara, (tetapi) musuh pun bijak (elak dikesan). Namun, semangat kita tinggi untuk mengesan mereka.
“Sebenarnya, musuh sudah sampai awal dan telah bersedia memasang khemah untuk bermalam. Namun, pasukan kita (secara tidak sengaja) telah memasuki kawasan musuh sehinggakan berlaku tembak-menembak.
“Masa pertempuran itu, anggota PKKU adalah lebih kurang 50 orang,” katanya yang mengakui bernasib baik kerana tiada sebarang kecederaan berlaku ketika pertempuran tersebut.
Selain di Kem Lundu, Hadzli turut diarah berkhidmat di Kem Syed Putra, Perak selama tiga tahun, Kem Oya Sibu, Sarawak (tiga tahun), Kem Terendak, Melaka (tujuh tahun) sebelum beliau dihantar ke Rejimen 511 Askar Wataniah, Kuching, Sarawak sebagai Pegawai Waran II (PWII).
Hadzli yang kini merupakan Ketua Masyarakat di Tanjung Bundong berkata, banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh perwira negara untuk mencapai kemerdekaan termasuk mengorbankan nyawa sendiri demi mempertahankan negara.
Beliau turut menasihati generasi muda masa kini supaya mengukuhkan perpaduan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Generasi muda memang agak kurang (rasa cinta akan negara), tetapi kalau generasi lama, memang tetap kukuh.
“Jadi, nasihat saya kepada generasi muda, keamanan negara mestilah sentiasa dijunjung supaya kemakmuran itu dapat kita nikmati selama-lamanya,” katanya.
#Hari Malaysia
#Kalimantan
#Kapten Hadzli Awi
#Kem Tentera Lundu
#keselamatan
#Ketenteraan
#komunis
#MalaysiaKU
#perpaduan
#tentera