Pertaruh nyawa demi ke sekolah: 'Pihak berwajib, tolong segera bertindak'
Madiha Abdullah
Januari 2, 2018 13:30 MYT
Januari 2, 2018 13:30 MYT
HARI pertama persekolahan hari ini tentunya mencatat pelbagai kenangan manis, khususnya bagi adik-adik yang baru kali pertama menjejakkan kaki ke alam persekolahan.
Namun bagi seorang ibu, Siti Zaharah Othman, dia terpaksa menahan perasaan takut dan gementar melihat anak lelakinya menyeberangi jambatan uzur untuk ke sekolah.
Zaharah berkongsi video 'perjalanan' anaknya itu memulakan persekolahan darjah satu yang dipimpin bapanya, Abdul Jalil Sulaiman, untuk melalui jambatan berkenaan, ke akaun Facebook, pagi tadi.
Baru empat jam dimuat naik, angka tontonan sudah mencecah lebih 900,000 dengan majoriti netizen rata-ratanya 'menahan nafas' melihat kesukaran yang ditempuh dua beranak itu.
Difahamkan, video itu dirakamkan di Jambatan Gantung Pamah Aur, Bukit Betong, Kuala Lipis.
"Anak emak bersemangat dah nak ke sekolah. Tapi kena harungi jambatan yang 'canggih' ni.
"Dah setahun, sayang tak ada perubahan langsung," tulis Siti Zaharah.
Netizen menggesa pihak berwajib agar segera bertindak dan mengambil langkah sewajarnya demi mengelakkan kejadian yang tidak diingini di masa depan.