Pertanian bandar di kaki gunung, tarikan pelancong di Perak
Aida Aziz
Mac 26, 2021 05:00 MYT
Mac 26, 2021 05:00 MYT
IPOH: Perak akan membangunkan produk eko-pelancongan baharu berkonsepkan pertanian bandar di lima kaki gunung di negeri ini, bermula April depan.
Menurut Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, sebagai permulaan, kaki Gunung Matsoorat yang terletak berdekatan Kampung Kepayang dan Gunung Lang dijadikan sebagai projek perintis.
Projek itu membabitkan kerjasama antara pihaknya dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) bersama Green Valley Agriculture serta Rymba Management & Leisure Sdn Bhd.
Katanya, terdapat lima kawasan di kaki gunung yang diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Perak (MMK) pada 5 Ogos tahun lalu bagi pelaksanaan projek pertanian bandar.
"Antara kaki gunung yang akan dibangunkan adalah kaki Gunung Matsoorat, Gunung Rapat, Gunung Panjang, Gunung Liang dan Gunung Gunting.
"Bagi projek perintis di kaki Gunung Matsoorat, berkeluasan 7.14 hektar, yang sudah bermula sejak penghujung tahun lalu, akan dilaksanakan secara komersial pada awal April ini," katanya.
Rumaizi berkata demikian pada sidang media selepas sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Bagi Projek Pertanian Bandar 'Urban Farming' di Kaki Gunung Matsoorat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya.
Jelas Rumaizi, konsep pertanian bandar ini tercetus semasa penularan wabak COVID-19 susulan tiada pergerakan import dan eksport bahan mentah mengakibatkan berlakunya kekurangan sumber makanan.
"Ramai penduduk kehilangan kerja dan sumber pendapatan. Jadi, projek ini adalah salah satu cara untuk membantu penduduk meningkatkan hasil ekonomi melalui konsep pertanian bandar.
"Seterusnya, menarik pengunjung ke Perak melalui produk tersebut yang ada di situ," katanya.
Tambahnya, usahasama dengan pihak Green Valley Agriculture turut mencadangkan tanaman hidroponik dan fertigasi yang akan dilaksanakan di kawasan kaki Gunung Matsoorat berkenaan.
"Melalui aktiviti ini, ia dapat menjadikan kaki Gunung Matsoorat itu sebagai salah satu tempat eko-pelancongan yang menarik pengunjung.
"Antara sayuran yang dicadangkan untuk ditanam secara hidroponik dan fertigasi di sekitar kaki Gunung Matsoorat itu nanti adalah kailan, sawi, cili dan pudina," katanya.
Ujarnya lagi, pelaksanaan projek ini dapat memupuk kesedaran dan minat terhadap kepentingan pertanian, sebagai menyokong usaha kerajaan dalam menjamin kualiti dan sekuriti makanan.
#kerajaan
#COVID-19
#ekonomi
#Ipoh
#MoU
#kaki gunung
#Gunung Rapat
#projek perintis
#PPPNP
#pertanian bandar
#sumber pendapatan
#eko-pelancongan
#hidroponik
#Rumaizi Baharin
#Gunung Matsoorat