Pertandingan memancing tangani fenomena ikan mati di Sungai Melaka
Bernama
April 25, 2023 18:23 MYT
April 25, 2023 18:23 MYT
MELAKA: Kerajaan negeri akan mengadakan pertandingan memancing dan pesta masakan ikan sungai sebagai langkah proaktif menghadapi fenomena ribuan ikan mati di Sungai Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata penganjuran itu secara tidak langsung akan menjadi tarikan baharu sempena sambutan Tahun Melawat Melaka 2024.
"Kematian ikan ini bukan akibat pencemaran... fenomena ini berlaku setiap tahun pada 21 hingga 23 April akibat perubahan ketara cuaca hingga menyebabkan air Sungai Melaka menjadi lebih cetek dan kemasukan air laut.
"Jadi, lebih baik kita (Kerajaan Melaka) lakukan sesuatu yang bermanfaat kepada rakyat berbanding membiarkan ikan itu menjadi bangkai," katanya kepada media selepas melawat lokasi lebih lima tan ikan mati di Sungai Melaka sejak dua hari lepas di sini hari ini.
Menurut Ab Rauf pertandingan memancing dan memasak ikan sungai itu akan diadakan sebelum April tahun hadapan di sepanjang 5.4 kilometer Sungai Melaka Fasa 2 hingga Batu Hampar.
Beliau berkata usaha itu juga antara kaedah dalam memastikan ekologi di Sungai Melaka terpelihara terutama menangani pencemaran bau ammonia yang terhasil daripada bangkai ikan.
"Ia kaedah menang-menang dan akan minta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman memikirkan kaedah penganjurannya nanti," katanya.
Semalam media melaporkan ribuan ikan di sepanjang Sungai Melaka dijumpai mati, dipercayai berpunca kekurangan oksigen akibat cuaca tidak menentu.
-- BERNAMA