Pertandingan Komuniti Zon Hijau perkasakan pembudayaan norma baharu

Madiha Abdullah
April 28, 2021 16:10 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua, kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM700,000 kepada Datuk Zuraida Kamaruddin (dua, kanan) pada majlis pelancaran Pertandingan Komuniti Zon Hijau COVID-19 di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Pertandingan Komuniti Zon Hijau COVID-19 yang melibatkan komuniti bandar dan luar bandar di seluruh negara.
Program itu bertujuan menggalakkan komuniti untuk membudayakan norma baharu, selain memperkasakan peranan komuniti bersama-sama kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19 dan seterusnya memastikan warga komuniti bebas daripada jangkitan COVID-19.
Pertandingan ini terbahagi kepada dua kategori, iaitu kategori komuniti bandar yang diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan komuniti luar bandar yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
"Kerajaan telah memperuntukan sejumlah RM1.7 juta bagi hadiah pertandingan ini, iaitu sebanyak RM50,000 dalam bentuk nilai projek pembangunan yang akan diberikan kepada Komuniti Zon Hijau COVID-19 yang dipilih sebagai pemenang.
"Antara projek pembangunan yang ditetapkan ialah naik taraf ruang rekreasi komuniti, baik pulih surau komuniti, membina perpustakaan komuniti dan lain-lain projek komuniti yang bersesuaian," katanya dalam majlis pelancaran program tersebut di sini, pada Rabu.
Sebanyak 20 pemenang bagi kategori Luar Bandar akan dipilih, manakala 14 pemenang bagi kategori bandar akan dipilih di seluruh negara.
Kategori pertandingan komuniti bandar khusus kepada Perumahan Strata jenis flat, pangsapuri dan apartment, manakala kategori komuniti luar bandar terdiri daripada Kampung Tradisional, Rumah Panjang dan Kampung Orang Asal.
#Muhyiddin Yassin #COVID-19 #Pertandingan Komuniti Zon Hijau COVID-19 #Perdana Menteri #norma baharu #KPKT #KPLB
;