Pertandingan enam penjuru bukan luar biasa, kata Hishammuddin

Bernama
September 22, 2013 16:19 MYT
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan pertandingan enam penjuru untuk jawatan naib presiden Umno yang disandangnya pada pemilihan parti bulan depan bukanlah sesuatu yang unik atau luar biasa.
Beliau berkata perkara itu juga bukanlah sesuatu yang mengejutkannya kerana semasa menyuarakan hasrat untuk mempertahankan jawatan itu, beliau sudah mendengar desas desus bahawa ramai yang mahu bertanding jawatan itu.
"Bagi saya kalau pertandingan itu secara sihat dan bersandarkan kepada kekuatan yang ada pada setiap calon, saya rasa kelak apabila pemilihan ini berakhir, parti akan lebih kuat.
"Tetapi jika budaya politik negatif menjadi amalan ketika bertanding, parti akan rosak, bukannya nama calon berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan 500 anggota Umno Pahang di Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata selama ini beliau selesa bekerjasama dengan dua lagi penyandang jawatan itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sehingga mereka berjaya membawa wadah perjuangan parti selama ini.
Bagi beliau, kerjasama di antara mereka tidak perlu dipolemikkan oleh sesetengah pihak yang mengatakan wujudnya pakatan di antara ketiga-tiganya untuk menentang calon yang mencabar mereka pada pemilihan kali ini.
"Ia lebih kepada memikul tangggungjawab yang diamanahkan parti secara berganding bahu dan sebagai sebuah keluarga," katanya.
Selain tiga penyandang itu, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut menyerahkan borang pencalonan mereka semalam untuk persaingan jawatan naib presiden.
#Hishammuddin #Naib Presiden #UMNO
;