Pertandingan dua jawatan tertinggi boleh melemahkan Umno - Shahidan Kassim
Astro Awani
September 19, 2013 17:45 MYT
September 19, 2013 17:45 MYT
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini berpendapat bahawa Umno akan menjadi lemah sekiranya dua jawatan tertingginya dipertandingkan.
Jesteru, Umno Perlis memutuskan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan Umno bulan depan, lapor Bernama.
Menurut Shahidan, jika wujud pertandingan di peringkat dua jawatan tertinggi itu, agenda baik yang telah dirancang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh tergendala.
"Kita nak pertandingan dalam Umno biarlah menjadikan Umno kuat, kalau pertandingan menyebabkan Umno lemah, maka itu akan merugikan," katanya pada sidang akhbar.
Shahidan merujuk kepada kenyataan Ketua Umno Bahagian Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin yang mengatakan beliau menyokong jika anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bertanding mencabar jawatan presiden Umno pada pemilihan parti kali ini.
Shahidan, yang juga anggota Parlimen Arau, menyifatkan kenyataan Zahidi sebagai pandangan peribadi dan tidak menjejaskan keputusan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Perlis supaya kedua-dua jawatan tertinggi Umno itu tidak dipertandingkan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan masih belum membuat keputusan sama ada untuk bertanding sebarang jawatan pada pemilihan Umno bulan depan.
Meskipun didesak oleh media yang hadir pada sidang media di kediamannya di Kuala Lumpur, beliau tetap enggan mengumumkan pendiriannya atas alasan belum lagi membuat keputusan mengenainya.
Menurutnya, beliau masih lagi mempunyai masa untuk memikirkan kedudukannya dalam pemilihan parti.
Beliau seterusnya meminta media agar menunggu sehingga ke hari terakhir pendaftaran calon, 21 September ini, untuk mengetahui keputusannya.
Terdapat juga desas-desus mengatakan beliau mungkin mencabar Datuk Seri Najib Razak untuk jawatan presiden parti itu, namun setakat ini masih belum ada sebarang pengesahan.