Pertandingan bina badan tutup aurat di Kelantan bulan depan
Bernama
September 17, 2019 17:24 MYT
September 17, 2019 17:24 MYT
Kerajaan Kelantan menerusi Urusetia Belia dan Sukan negeri akan mengekalkan konsep pertandingan bina badan yang dinamakan Mr Awang Selamat Kelantan 2019 bertemakan badan cantik patuh syariah pada 12 Oktober depan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Hamat berkata, tidak sebagaimana pertandingan bina badan biasa, pertandingan itu akan menonjolkan para peserta berseluar panjang melebihi paras lutut dan bahagian pusat ditutup dengan kain selendang dan bertanjak di kepala.
Wan Roslan berkata, pihaknya menetapkan garis panduan dalam cara berpakaian sejak pertandingan itu pertama kali diadakan pada 2016
"Pertandingan ini mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Awang Selamat Kelantan (PASAK) dengan enam kategori iaitu; Mr Awang Selamat Kelantan Bakat Baru (Tertutup), Mr Awang Selamat Kelantan PASAK (Tertutup), Mr Awang Selamat Kelantan (Tertutup) 70 kg ke bawah, Mr Awang Selamat Kelantan (Tertutup) 70 Kg ke atas.
"Selain itu, ada juga kategori terbuka iaitu; Mr Awang Selamat Kelantan (Terbuka) 70 Kg ke bawah dan Mr Awang Selamat (Terbuka) 70 Kg ke atas," katanya semasa sidang media di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.
Wan Roslan berkata, setakat ini seramai 110 peserta telahpun mendaftar termasuk dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan dari beberapa negeri iaitu Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu dan menambah penyertaan masih dibuka sehngga pada hari pertandingan. - BERNAMA