Pertambahan jawatan tetap di KKM perlu diteruskan hingga nisbah doktor dan penduduk dicapai - MMA

Fareez Azman
Februari 13, 2022 17:28 MYT
Pertambahan ini dan pertambahan jawatan tahun berikutnya memberi impak kepada penjagaan kesihatan lebih baik kepada rakyat.
KUALA LUMPUR: Pertambahan jawatan tetap pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin adalah langkah yang perlu diambil dalam memastikan nisbah doktor dan penduduk di negara ini seiring.
Demikian jelas Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Jar Chai yang menyambut baik usaha itu dalam menambah baik sektor kesihatan awam di negara ini.
"Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyambut baik langkah diambil dalam menambah bilangan penjawatan di sektor kesihatan amnya. Pertambahan ini dan pertambahan jawatan tahun berikutnya memberi impak kepada penjagaan kesihatan lebih baik kepada rakyat.
"Bagi kakitangan terlibat, mereka diberi suntikan moral untuk bertugas lebih baik apabila berasakan kebajikan mereka terjaga," jelasnya ketika ditemubual Astro AWANI pada Ahad.
Tambah Dr Koh, meskipun hanya 4,186 penjawatan tetap diumumkan ketika ini, namun ujarnya, usaha itu perlu berterusan agar sektor kesihatan awam dapat dimantapkan.
"Walaupun 4,000 jawatan tetap ini adalah langkah yang baik, kekangan penjawatan dan sumber manusia masih lagi menjadi halangan utama dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Kita perlu menambah lagi bilangan staf, pegawai perubatan seiring dengan pertambahan penduduk dan fasiliti yang ada.
"Kita masih belum mencapai nisbah doktor dan penduduk seperti dinyatakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," jelasnya.
Ujarnya, dengan persediaan awal, sektor kesihatan awam dapat menampung sebarang kejadian luar jangka sepertimana negara berdepan pandemik COVID-19 pada awal tahun 2020.
Justeru, MMA jelasnya berharap perancangan lebih khusus dapat dijalankan oleh KKM dan kerajaan dalam mendepani cabaran masa hadapan.
"Apabila berlaku keadaan luar jangka, satu perancangan lebih khusus diperlukan.
"Walau bagaimanapun dengan pertambahan bilangan jawatan yang ada dan pertambahan yang akan berlaku setiap tahun.
"Kita lebih bersedia untuk menghadapi keadaan seperti pandemik COVID-19, pertambahan penjawatan ini perlu diteruskan sekurang-kurangnya sehingga kita mencapai nisbah doktor kepada penduduk yang dikehendaki dalam penjagaan kesihatan sejagat," jelasnya lagi.
Sementara itu, bekas presiden MMA, Dr N G Baskaran pula berkata pengumuman kerajaan itu dijangka dapat menyelesaikan isu kekurangan pakar perubatan dalam negara.
Malah beliau menyifatkan tawaran lantikan itu sebagai penghormatan kepada doktor kontrak yang telah menjadi barisan hadapan sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
"Malaysia kurang pakar dalam pelbagai bidang. Bila doktor-doktor ini mendapat lantikan tetap, ia satu daripada cara menaikkan taraf bidang perubatan mereka menjadi pakar seterusnya boleh beri perkhidmatan terbaik kepada negara.
"Sebelum ini doktor kontrak memang boleh sambung belajar, tapi kena belajar sendiri, ambil peperiksaan di luar dan belanja sendiri. Sekarang bila dah jadi tetap, ada peluang untuk menjadi pakar dalam pelbagai bidang," katanya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan kerajaan bersetuju menambah 4,186 penjawatan tetap dalam kementerian itu.
Jelasnya, ia membabitkan seramai 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.
Tambahnya, Jemaah Menteri turut bersetuju agar sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi diwujudkan dalam kementerian itu setiap tahun bermula tahun 2023 hingga 2024.
Jemaah Menteri jelasnya juga bersetuju 800 jawatan tetap Pakar Perubatan dan 70 Pakar Pergigian diwujudkan di KKM setiap tahun mulai tahun 2023.
#Persatuan Perubatan Malaysia #MMA #Dr Koh Jar Chai #KKM #Doktor Kontrak
;