Pertambahan jawatan jururawat antara syor LKAN

Bernama
Februari 16, 2023 17:45 MYT
Pertambahan jawatan petugas kesihatan khususnya jururawat adalah antara syor yang disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pertambahan jawatan petugas kesihatan khususnya jururawat adalah antara syor yang disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini.
Menurut laporan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu mempertimbangkan pertambahan berkenaan bagi mengatasi kekurangan staf kesihatan berbanding beban kerja mereka yang kian meningkat, terutamanya ketika pandemik COVID-19.
Syor itu ialah susulan dapatan semakan audit yang dijalankan di empat hospital awam yang mendapati pengisian jawatan jururawat adalah tidak setara dengan keperluan dan tidak mengikut nisbah level of care atau tahap penjagaan yang disarankan, terutamanya dengan mengambil kira skop perkhidmatan yang disediakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD).
Pengauditan itu telah dijalankan di Hospital Sungai Buloh, Selangor; Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan; dan Hospital Tunku Jaafar Seremban serta Hospital Tampin di Negeri Sembilan.
Perjawatan di empat hospital berkenaan telah diisi oleh antara tujuh hingga 62 jururawat dan peratus kekurangan jururawat ETD adalah antara 61.2 peratus hingga 35.3 peratus, menurut laporan itu.
Berdasarkan sampel daripada semakan audit di empat hospital berkenaan, laporan itu turut memaklumkan bilangan jururawat yang ditempatkan di Unit Penjagaan Rapi (ICU) semasa tempoh pandemik adalah tidak mencukupi dan menyebabkan jururawat perlu berkerja lebih masa.
"Kekurangan jururawat menyebabkan tahap penjagaan pesakit terpaksa diubah kepada norma tiga per empat (3:4) dan jadual syif terpaksa diubah daripada waktu kerja tiga syif kepada dua syif... Secara puratanya, setiap jururawat akan bekerja melebihi 12 jam setiap hari dan akan bekerja double duty semasa kekurangan jururawat akibat cuti kuarantin," menurut laporan itu.
-- BERNAMA
#pertambahan jawatan jururawat #petugas kesihatan #Laporan Ketua Audit Negara #LKAN 2021
;