'Pertama kali Aina sertai rombongan, tak sangka bertukar tragedi'- Bapa

Sinar Harian
Ogos 12, 2024 07:00 MYT
Muhamad Husaini bersama Haziyah menunjukkan gambar Aina Husna yang masih hilang selepas bot dinaiki dilanggar sebuah tongkang dalam kejadian pada pagi Ahad.
KEMAMAN: Bapa kepada seorang mangsa bot karam yang masih hilang sempat menemani anaknya itu membeli alatan memancing sebagai persediaan untuk menyertai rombongan mencandat sotong pada Sabtu lalu.
Muhamad Husaini Ayub, 60, berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya, Aina Husna, 25 pada Khamis lalu, ketika menemani untuk membeli barangan keperluan itu.
"Waktu tu dia sangat teruja untuk ikut trip mencandat sotong, sebab ini kali pertama dan dia pun belum pernah ada pengalaman sertai rombongan seperti itu.
"Dari raut wajah dia nampak dia sangat gembira. Tak sangka pula rombongan mereka berakhir dengan tragedi sebegini," katanya ketika ditemui di pusat kawalan operasi Zon Maritim Kemaman, di sini, pada Isnin.
Muhamad Husaini yang juga seorang kontraktor berkata, dia pasrah dengan kejadian yang berlaku dan berharap agar anaknya itu segera ditemui.
Sementara itu, isterinya, Haziyah Harun, 63 yang terselamat dalam tragedi itu berkata, dia masih terkejut dan trauma dengan kejadian itu.
Katanya, dia berharap agar Aina Husna yang juga anak kelima dari tujuh beradik dapat dijumpai.
"Saya masih terkejut sebab kejadian itu berlaku dengan begitu pantas. Waktu bot terbalik tu saya tak nampak di mana anak-anak saya.
"Saya hanya mampu melaungkan nama mereka dan perasan Ain Farhana berenang ke arah kami. Tetapi, Aina Husna masih hilang dan tak dapat dikesan," luahnya.
Haziyah berkata, mereka bersyukur kerana sebuah bot yang kebetulan lalu di kawasan itu ternampak mereka berpaut pada tong ikan berwarna kuning.
"Masa terapung lebih dua jam tu ombak sangat kuat, kalau tak kuat pegang mungkin ada lagi yang akan tenggelam.
"Semua barang-barang pun tak dapat diselamatkan termasuk telefon bimbit kerana bot mula perlahan-lahan tenggelam.
"Mujurlah ketika hari semakin cerah, nelayan yang berada di atas bot itu perasan kami dan segera melambai," katanya.
Setakat ini, dua peserta rombongan mencandat sotong disahkan meninggal dunia iaitu Siti Zamimah Mohman Zobini, 29 dan Shahril Ismail, 50 manakala Aina Husna dan seorang lagi mangsa, Yusof Kassam, 66 masih belum dijumpai.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan sebuah bot dinaiki sembilan penumpang termasuk dua tekong karam dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi pada Ahad.
Bot dinaiki pemancing berasal dari Raub, Pahang dan Selayang, Selangor itu dipercayai dilanggar sebuah tongkang pada jarak tujuh batu nautika dari perairan Kuala Kemaman. - Sinar Harian
#bot karam #mencandat sotong #Aina Husna #meninggal dunia
;