'Pertahankan tindakan anda,' kata Azalina kepada Nurul Izzah
Hafiz Marzukhi
Disember 3, 2015 15:37 MYT
Disember 3, 2015 15:37 MYT
Biarlah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen menentukan nasib Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar selepas beliau dirujuk ke badan tersebut berikutan pertemuan bersama Jacel Kiram, anak kepada Jamalul Kiram III.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman berkata Nurul Izzah mempunyai peluang untuk menerangkan tindakannya apabila disoal jawatankuasa itu nanti.
"Lebih mudah untuk Nurul Izzah menerangkan tindakannya tanpa prasangka kerana kedua-dua pihak menganggotai jawatankuasa tersebut.
"Beliau boleh bawa Jacel sebagai saksinya," tambah Azalina dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Azalina berkata beliau bersimpati terhadap situasi yang dihadapi Nurul Izzah dan pada hematnya, Nurul Izzah patut menggunakan peluang ini untuk membersihkan namanya.
Pada 9 November lalu, tersebar gambar Nurul Izzah bertemu Jacel yang merupakan anak perempuan kepada bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III.
Perbuatan itu menimbulkan kemarahan rakyat Sabah dan keluarga mangsa yang terkorban di Lahad Datu sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan usul menghalang beliau dan Anggota Parlimen Batu, Tian Chua daripada memasuki negeri itu.
Hari ini, satu usul dikemukakan Azalina dimana dalam sesi undian belah bahagian, 105 ahli Parlimen bersetuju dengan usul tersebut berbanding 77 mengundi tidak bersetuju.
Ketika sesi perbahasan, Nurul Izzah dalam nada sebak menyatakan bahawa beliau masih berpegang teguh dan menghormati kedaulatan undang-undang dan perlembagaan negara.
"Saya akui masih berpegang pada kedaulatan negara...angkat sumpah untuk mendaulatkan perlembagaan negara.. tidak mencabulnya," Nurul Izzah dilaporkan berkata.