Pertahankan Putrajaya - Najib
Bernama
November 29, 2012 12:53 MYT
November 29, 2012 12:53 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak mengerahkan seluruh anggota Umno bersatu mempertahan Putrajaya sambil menegaskan rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik, dan ini hanya mampu ditawarkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).
Perdana Menteri berkata pilihan raya umum ke-13 merupakan titik penentu kepada destinasi masa depan negara dan rakyat perlu tahu menilai kelebihan BN berbanding pembangkang.
Katanya ini dibuktikan dengan parti perikatan dan kemudian BN yang ditunjangi oleh Umno sejak lebih 55 tahun lalu, secara berterusan menerajui negara dengan membawa pelbagai perubahan dan pembaharuan dengan lonjakan berganda.
Presiden Umno itu berkata sedangkan pembangkang yang mahu berkuasa, hanya menabur janji kosong, tipu daya atau fatamorgana.
"Pilihannya amat jelas untuk kita melihat anak-anak tanpa mengira kaum mahupun agama berhilai ketawa, membesar dan berlibur bersama-sama atau didewasakan dengan kebencian yang membara," katanya dalam ucapan dasarnya bertemakan "Kepimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional" sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 hari ini.