Pertahankan keamanan dan keharmonian Sarawak - Abdul Taib
Bernama
Disember 24, 2023 19:41 MYT
Disember 24, 2023 19:41 MYT
KUCHING: Keamanan dan keharmonian di Sarawak mesti dipertahankan kerana ia adalah khazanah yang amat besar, kata Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.
Beliau berkata rakyat Sarawak amat bertuah kerana mereka dapat meraikan semua perayaan besar dengan meriah tanpa mengira kaum dan agama.
Abdul Taib berkata sambutan seperti perayaan Krismas, Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Wesak dan Gawai Dayak disambut berlatarbelakangkan persefahaman dan rasa hormat yang sebenar antara satu sama lain.
"Saya sangat gembira untuk mengatakan bahawa di Sarawak, orang Kristian telah dapat menyambut Krismas bersama rakan, saudara-mara dan ahli keluarga mereka yang bukan beragama Kristian.
"Tradisi kunjung mengunjung antara satu sama lain ini sangat unik di Sarawak yang kita telah menjadi contoh teladan kepada seluruh negara," kata beliau dalam perutusan Krismasnya di sini hari ini.
Sementara itu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam perutusan Krismas dan tahun baharunya berkata dalam mengekalkan keterangkuman sosial Sarawak, kerajaan negeri memastikan rakyatnya mempunyai tempat ibadat yang baik.
Beliau berkata sebelum ini, beberapa tempat ibadat terutama gereja dan gereja kecil berada dalam keadaan agak menyedihkan.
"Sebab itu sebagai kerajaan yang prihatin, kami menubuhkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) untuk memastikan penganut agama lain selain Islam mendapat tempat yang selesa untuk beribadat.
"Beberapa pemimpin bukan Islam juga telah menunjukkan sikap yang sama terhadap keperluan umat Islam di mana mereka adalah minoriti. Ini cara kami dan jenama perpaduan kami di Sarawak yang mungkin tidak ditemui di tempat lain," tambahnya.
-- BERNAMA