'Pertahan kedaulatan negara, biarpun hanya seketul batu karang di lautan' - Agong

Firdaus Azil
Februari 3, 2025 12:40 MYT
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan kerajaan memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara terus kekal terpelihara. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan kerajaan memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara terus kekal terpelihara, walaupun ia hanya sekadar seketul batu karang di tengah lautan.
Baginda bertitah, jika kedaulatan tercabar, perlu ada tindakan tegas oleh pihak kerajaan, sama ada melalui saluran diplomatik, undang-undang mahupun pertahanan.
“Kerajaan juga perlu bijak dalam mengekalkan hubungan diplomatik dengan semua pihak dan meningkatkan kerjasama strategik dalam menangani isu-isu serantau dan sempadan negara.
“Tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan perlu diambil, bagi memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara terus kekal terpelihara, walaupun hanya seketul batu karang di tengah lautan,” titah baginda.
Baginda bertitah sedemikian sewaktu menyampaikan Titah Diraja sempena sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas di Parlimen, pada Isnin.
Dalam pada itu Sultan Ibrahim bertitah, sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia perlu menunjukkan keupayaan dalam memimpin dan menentukan hala tuju ASEAN.
“Malaysia perlu kekal tegas mendukung prinsip keamanan, menentang keganasan dan penindasan. peperangan di Gaza perlu segera ditamatkan dan keadilan undang-undang hendaklah dilaksanakan,” titah baginda lagi.
Menyentuh mengenai Kempen Melawat Malaysia Tahun 2026 (VM2026), baginda bertitah, ia bakal melihatkan keunikan budaya dan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.
Tambah baginda lagi, ia juga akan membuka peluang ekonomi, dan mengukuhkan imej negara di mata dunia.
"Semua pihak perlu berusaha untuk menjayakan kempen ini, terutamanya dalam memastikan negara kita bersih dan selamat. Tidak ada pelancong yang hendak datang kalau negara kita kotor, dan kadar jenayah yang tinggi,” titah baginda.
Selain itu Sultan Ibrahim turut menyeru kerajaan untuk terus membantu pekebun kecil, petani, penternak dan nelayan, serta mengambil tindakan proaktif bagi memperkasa sektor pertanian, komoditi dan rantaian bekalan makanan.
“Agenda memperkasa ekonomi bumiputera melalui kerjasama dan sokongan syarikat kerajaan mesti terus dilaksanakan. Kerajaan juga perlu terus komited untuk memberikan peluang kepada setiap rakyat untuk memiliki rumah kediaman yang mampu dibeli.
“Penyediaan infrastruktur asas, kemudahan kesihatan, dan pendidikan hendaklah terus ditambah baik. Langkah kerajaan melaksanakan agenda reformasi pendidikan, latihan teknikal dan vokasional, serta pembangunan belia, akan melahirkan generasi masa hadapan yang lebih berkualiti,” titah baginda lagi.
#Pulau Batu Putih #Sultan Ibrahim #ASEAN #Yang di-Pertuan Agong #terkini
;