Pertahan, bebaskan Palestin adalah satu kewajipan umat Islam - Hadi Awang
Astro Awani
Mei 15, 2021 13:13 MYT
Mei 15, 2021 13:13 MYT
KUALA LUMPUR: Kewajipan untuk mempertahankan Palestin dan membebaskannya adalah lebih besar tanggungjawabnya buat seluruh umat Islam.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Allah SWT meluaskan pemahaman terhadap lapangan jihad dengan penurunan beberapa ayat-ayat al-Quran.
"Para ulama menegaskan bahawa hukum jihad yang bersifat fardu kifayah pada asalnya, berubah menjadi fardu ain ke atas setiap individu dalam kalangan orang yang beriman, apabila musuh sudah menceroboh ke dalam tanah air umat Islam," katanya dalam perkongsian di Facebook beliau.
Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu berkata Allah SWT mewajibkan umat Islam agar turut serta berjihad mengikut kemampuan masing-masing.
Menurut beliau, 'Jihad Fi Sabilillah’ paling besar ialah mempertahankan Islam, umat dan tanah airnya.
"Situasi kini ialah keganasan yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin khususnya penduduk di Baitulmaqdis dan Gaza, sehingga merebak ke seluruh Palestin.
"Ketegangan bukan sahaja melibatkan pihak tentera tetapi pendatang Yahudi yang bertindak ganas dengan menceroboh dan merampas kediaman rakyat Palestin termasuk kedai dan kebun," katanya.
Beliau berkata, Allah SWT menjanjikan agama Islam akan tetap dipelihara dan mereka yang berusaha menegakkannya diberikan kemuliaan di dunia dan akhirat.
"Terdapat negara yang boleh menghantar bekalan senjata dan pasukan pakarnya, pada masa yang sama terdapat juga mereka yang menyumbang dari sudut kewangan dan tenaga pasukan perubatan serta kebajikan.
"Adapun negara Arab dan Islam yang mengecewakan itu berbelanja besar untuk perang saudara, bagi membantu musuh secara langsung menghadapi mana-mana negara yang menyokong Palestin.
"Mereka dibantu oleh negara besar yang mendukungnya di atas nama harta, takhta, mazhab dan kaum," katanya.
#Abdul Hadi Awang
#PAS
#Facebook
#Gaza
#keganasan
#jihad
#Palestin
#Mahathir Mohamad
#Islam
#Hamas
#Perdana Menteri