Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan semua individu yang sudah menerima dua dos vaksin Pfizer atau Moderna genap lapan bulan boleh menerima dos ketiga.
Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menuntut semua penduduk yang telah menerima dua dos vaksin Sinopharm untuk mengambil dos ketiga selepas genap enam bulan.
Berdasarkan hasil kajian Real World Data (RWD), kadar perlindungan semua vaksin COVID-19 menurun setelah enam bulan menerima suntikan dua dos vaksin.
Dos ketiga boleh meningkatkan tahap antibodi. Betul, itulah fakta yang tak boleh kita nafikan. Namun realitinya ketika ini adalah, majoriti penduduk di dunia masih belum menerima vaksin dos kedua, bahkan dos pertama!
Jadi, persoalan Satria adalah, adakah keutamaan kita untuk berusaha mencapai imuniti kelompok di dunia terlebih dahulu, atau menyediakan dos ketiga yang hanya disediakan di negara-negara yang berkemampuan sahaja?
Menurut statistik pihak berkuasa China, jumlah vaksinasi di negara ini telah melebihi 2 bilion dos, antaranya kira-kira 900 juta orang telah lengkap dua dos. Menurut jadualnya, China mampu mewujudkan imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini.
Bagaimanapun, dengan impak varian Delta, kes jangkitan tempatan telah didapati dalam golongan yang telah lengkap vaksinasi seperti kakitangan yang berkhidmat di lapangan terbang.
Syukurlah mereka yang terjangkit itu tidak mengalami simptom teruk kerana telah lengkap divaksin.
Secara tidak langsung, ini juga mencerminkan, vaksin sedia ada masih mampu menurunkan kadar kematian dan kadar jangkitan kritikal.
Oleh itu, ternyata bahawa strategi yang digunakan di China ketika ini berkesan, iaitu mengawal penularan wabak secara ketat, di samping mendorong imuniti kelompok tercapai secepat mungkin.
Pada masa yang sama, keputusan ujian percubaan dos ketiga vaksin Sinovac dan Sinopharm pula telah diumumkan baru-baru ini.
Kerajaan China sedang mengkaji penggunaan dos ketiga untuk golongan berisiko tinggi, seperti petugas di lapangan terbang, hospital, kastam, tempat kuarantin serta golongan warga emas.
Pakar China berpendapat bahawa dos ketiga tidak diperlukan untuk semua penduduk yang telah lengkap dua dos buat masa ini.
Satria sudah lengkap divaksin pada 21 Februari lalu, dan enam bulan sudah berlalu. Tetapi dengan kawalan wabak yang ketat dan respons pantas seluruh masyarakat ketika berlaku kes baharu, risiko jangkitan bagi orang ramai di China seperti Satria amat rendah.
Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga berpandangan sama. Ketua Saintis WHO, Dr. Soumya Swaminathan baru-baru ini dalam sidang media WHO menyatakan bahawa berdasarkan kajian sains sedia ada, belum terdapat bukti kukuh yang menyokong perlunya penggunaan dos ketiga.
China telah menyediakan 800 juta dos vaksin COVID-19 kepada lebih 100 buah negara, terutamanya negara-negara membangun. Syarikat China pula berusaha meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memenuhi keperluan global. Namun, usaha satu negara sahaja tidak mencukupi.
Penggunaan dos ketiga di negara-negara maju memang mampu sekali lagi meningkatkan tahap antibodi bahkan mungkin berkesan terhadap mutasi yang sedia ada. Tetapi, munculnya varian Delta telah membuktikan bahawa sekiranya wabak ini masih menular di tempat lain, varian yang lebih berbahaya akan terus muncul dan menggagalkan usaha untuk mencapai imuniti kelompok sesebuah negara.
Tambahan lagi, kesan dos ketiga juga dijangka menurun pada masa depan.
Penggunaan vaksin COVID-19 mungkin akan menjadi program vaksinasi rutin setiap tahun.
Buat masa ini, suntikan dos ketiga untuk kumpulan berisiko tinggi adalah munasabah, namun misi yang perlu didahulukan adalah menawarkan vaksin yang mencukupi kepada dunia, khususnya negara membangun supaya memberikan perlindungan asas kepada semua individu.
*Satria Zhang adalah wartawan China Radio International (CRI).
**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.