Perspektif peribumi penting untuk gerakan kelestarian - Premier Sarawak

Bernama
Jun 26, 2024 05:30 MYT
Pengetahuan dan perspektif masyarakat peribumi adalah penting kepada mana-mana gerakan kelestarian, kata Abang Johari. - Gambar BERNAMA
KUCHING: Pengetahuan dan perspektif masyarakat peribumi adalah penting kepada mana-mana gerakan kelestarian, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, ilmu tradisional dan amalan lestari rakyat peribumi memberikan pandangan berharga terhadap penjagaan ekologi.
"Di rantau Asia Tenggara, masyarakat peribumi memiliki ilmu tradisional yang luas mengenai ekosistem tempatan, tumbuhan ubatan, amalan pertanian dan pengurusan sumber," katanya pada Sidang Kemuncak Belia Hutan Hujan (RAYS) 2024, di sini, pada Rabu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau menegaskan, kerajaan dan organisasi boleh mempelajari ilmu tersebut untuk menggalakkan amalan lestari yang memberi manfaat kepada manusia dan alam sekitar.
Abang Johari menambah, dengan menghargai pengetahuan dan amalan lestari masyarakat peribumi, kita dapat memperkukuh usaha ke arah kelestarian dan pemuliharaan alam sekitar.
"Oleh itu, RAYS akan memberikan platform kepada belia kita untuk mendengar dan menjadi suara bagi masyarakat peribumi," katanya.
Sementara itu, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dalam kenyataan memaklumkan, RAYS 2024 berfungsi sebagai platform global untuk belia bersatu dan belajar daripada kebijaksanaan masyarakat peribumi berhubung pemuliharaan hutan hijau.
"Sebagai pemimpin masa depan, golongan belia boleh memanfaatkan sidang kemuncak ini untuk bertukar pandangan mengenai isu global dan menghasilkan penyelesaian yang kreatif," menurut kenyataan itu.
Sidang kemuncak tiga hari itu menampilkan penceramah dari Indonesia, Malaysia, Uganda, New Zealand dan beberapa negara lain bagi membincangkan pelbagai topik seperti perspektif gender, seni pemuliharaan, aktivisme iklim dan penceritaan peribumi.
Kira-kira 1,000 peserta mewakili belia dari 10 negara ASEAN dan lebih 40 universiti menghadiri sidang kemuncak itu. - BERNAMA
#Abang Johari Tun Openg #Premier Sarawak #perspektif peribumi #gerakan kelestarian
;