[PERSPEKTIF] Jangan beri bantuan zakat kepada golongan perokok
Muzaffar Syah Mallow
Januari 3, 2019 09:55 MYT
Januari 3, 2019 09:55 MYT
SEBARANG pemberian bantuan zakat terhadap pihak yang layak menerimanya tidak harus meliputi golongan perokok kerana dibimbangi pemberian zakat terhadap golongan perokok ini akan membawa isyarat yang salah terhadap golongan perokok ini untuk terus membazir wang dengan membeli rokok.
Secara keseluruhannya, terdapat lapan golongan yang layak menerima bantuan zakat secara keseluruhannya dalam Islam iaitu golongan fakir, miskin, mereka yang terlibat secara langsung dengan institusi zakat sama ada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk pemungutan, agihan, urusan kewangan dan sebagainya (amil), mereka yang dijinakkan hatinya atau mereka yang diharapkan kecenderungan hatinya untuk menerima Islam atau yang memeluk Islam (Muallaf), orang-orang Islam yang berada dalam perhambaan dan penaklukan samada dari segi cengkaman fizikal atau mental seperti cengkaman kejahilan dan terbelenggu di bawah kawalan orang-orang tertentu (Al - Riqab), golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga tanggungannya atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera dan dibenarkan oleh hukum syarak (Al - Gharimin), mana-mana orang atau pihak yang melibatkan diri dalam suatu aktiviti atau aktiviti menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya (Fisabiillah), dan mana-mana orang dalam perjalanan bagi maksud-maksud yang diluluskan oleh syarak dari mana-mana negeri atau negara yang memerlukan bantuan (Ibnu Sabil).
Walaupun pihak–pihak yang ingin menerima bantuan zakat tergolong dalam mana–mana ketogori penerima zakat seperti yang dinyatakan di atas, sekiranya mereka adalah seorang perokok, sebarang bentuk bantuan zakat tidak seharusnya diberikan kepada mereka. Isu merokok ini perlu dipandang berat kerana sudah wujud fatwa jelas mengenai isu rokok dalam negara kita.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang Kali Ke-37 di Dewan Syura, Tingkat 11 pada 23 Mac 1995 yang lalu telah membincangkan isu mengenai “Hukum Merokok Dari Pandangan Islam” dan telah bersetuju untuk memutuskan bahawa “Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan”.
Berdasarkan fatwa yang telah oleh pihak Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan terbabit jelas menunjukkan bahawa fatwa pengharaman rokok telah lama dikeluarkan oleh majlis tersebut iaitu sudah lebih 20 tahun dan ia masih kekal sehingga sekarang.
Pengharaman rokok terbabit telah dibuat berdasarkan tiga sebab utama iaitu merokok membahayakan kesihatan para penggunanya, mendatangkan kemudaratan kepada orang di sekeliling perokok serta alam sekitar dan perbuatan tersebut menjurus kepada pembaziran wang, masa dan tenaga serta merugikan pengguna yang menggunanya.
Ini juga selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al - Baqarah, ayat 195 yang bermaksud “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”. Allah SWT juga telah berfirman di dalam Surah al – A’raf: 157 yang bermaksud “Ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk…”.
Walaupun terdapat pelbagai jenis kempen kesedaran yang dilihat telah diambil oleh pihak jabatan agama, masjid-masjid serta surau mengenai perkara ini, namun ianya juga dilihat masih tidak efektif untuk mengekang masalah ketagihan merokok dikalangan umat Islam itu sendiri.
Undang–undang sedia ada dalam negara kita juga dilihat masih belum mencukupi bagi membendung masalah berkaitan dengan rokok dalam negara kita. Lebih menyedihkan, masalah yang berkaitan dengan rokok ini juga dilihat telah mula menular di kalangan golongan muda yang masih bersekolah.
Pada awal bulan Mac yang lalu pihak, pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan bahawa lebih tujuh juta manusia meninggal dunia setiap tahun, akibat merokok atau menghidu asap rokok. Menurut pihak WHO, tabiat merokok dipercayai menyebabkan satu kematian bagi setiap enam saat. Pihak WHO juga menyatakan bahawa, kanser, serangan jantung, strok dan penyakit paru-paru adalah pelbagai penyakit yang dikaitkan dengan tembakau atau rokok.
Sejak abad ke-20, tembakau sudah meragut 100 juta nyawa, iaitu melebihi 60 juta hingga 80 juta kematian yang dicatatkan ketika Perang Dunia Kedua (1939 – 1945) serta 18 juta mangsa yang maut dalam Perang Dunia Pertama (1914 – 1918).
Sekiranya tiada sebarang tindakkan keras dan berani yang diambil oleh mana - mana pihak dalam negara kita bagi menghentikan masalah berkaitan dengan rokok ini, amat sukar untuk kerajaan membendung jumlah penagih rokok dalam masyarakat kita.
Oleh yang demikian, adalah penting supaya satu mesej yang keras diberikan kepada semua pihak dalam negara kita termasuklah golongan penerima zakat supaya tidak merokok. Sekiranya golongan yang hendak mengambil wang zakat ini mampu membelanjakan wang mereka untuk membeli rokok yang makin hari makin mahal harganya maka sudah pasti mereka tidak layak untuk menerima apa–apa jenis bantuan zakat dari pihak pengurusan zakat.
Wang zakat yang telah diberikan oleh pembayar zakat dalam negara kita tidak seharusnya diberikan kepada golongan perokok. Pihak pengurusan zakat di semua negeri dalam negara perlu mengambil serius terhadap perkara ini serta memastikan semua bakal penerima bantuan zakat terdiri daripada mereka yang tidak akan membazirkan wang zakat yang bakal diberikan untuk membeli apa – apa barangan.
* Dr Muzaffar Syah merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI