Persoal usaha kerajaan bantu Palestin tindakan biadab, tidak berperikemanusiaan - Anwar

Afiezy Azaman
Ogos 25, 2024 13:10 MYT
Pihak yang pertikai usaha murni kerajaan bantu rakyat Palestin tidak layak menjadi rakyat yang faham mengenai jiwa dan nurani manusia, tegas Perdana Menteri Anwar. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri membidas tindakan seglintir pihak yang mempersoalkan usaha kerajaan membantu dan membela nasib rakyat Palestin dengan menyifatkan mereka sebagai biadab dan tidak berperikemanusiaan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, individu atau pihak tersebut tidak layak menjadi rakyat yang faham mengenai jiwa dan hati nurani manusia.
"Ketika Majlis Perasmian Penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak semalam, sebenarnya saya terpanggil untuk menjawab telahan seseorang yang kebetulan bukan daripada kelompok pemerintah.
"Sarjana terbabit kata kalau bawa rakyat Palestin (ke negara ini), jangan jejak ke bumi Sarawak. Ini pandangan paling biadap, tidak tahu erti kemanusiaan.
"Mujurlah suara ini suara kerdil tapi jangan kita izinkan berterusan kerana jika kita izinkan dia membiak, apa sahaja fahaman melampau jangan kita biarkan kerana bibit itu jika diizinkan akan jadi barah termasuk suara ini," katanya ketika berucap pada majlis Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk al-Aqsa dan Palestin di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Ahad.
Kenyataan Anwar itu dipercayai merujuk kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Sarawak yang mahu keutamaan bantuan diberikan di dalam negara terlebih dahulu berbanding membawa rakyat Palestin untuk dirawat di Malaysia.
NGO itu berkata, sekiranya Anwar mahu membawa rakyat Palestin ke Malaysia, keputusan itu tidak seharusnya dipaksa terhadap Sarawak untuk menurutinya.
"Konflik di Asia Barat tidak ada kena mengena dengan Sarawak. Jika dua puak yang berada jauh 8,000km tidak sefahaman dan berbunuhan sesama sendiri dengan tiada niat untuk berdamai selama berdekad lamanya, kita ucapkan semoga berjaya buat mereka. Jangan kita jadi penyibuk dan mencampuri urusan mereka," kata NGO itu.
#Perang Palestin-Israel #rakyat Palestin #rawatan di Malaysia #PM Anwar Ibrahim
;