Persidangan Ulama Sedunia fokus peranan pemimpin agama memelihara keamanan - Mohd Na'im
Bernama
April 30, 2024 21:30 MYT
April 30, 2024 21:30 MYT
KUALA LUMPUR: Persidangan Ulama Sedunia yang bakal mengumpulkan pemimpin-pemimpin Islam dan bukan Islam dunia pada 7 dan 8 Mei ini akan menjadi wadah bagi membincangkan peranan pemimpin agama dunia dalam memelihara keamanan dan kesejahteraan sejagat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata perkara itu merupakan matlamat utama persidangan yang dijangka dihadiri oleh lebih 1,500 peserta seluruh dunia.
"Konteks perbincangan adalah perpaduan... keamanan sejagat dan keharmonian itu asas kita adakan persidangan, bukan sahaja berbincang secara khusus mengenai agama.
"... sebab kita mahu melihat dan mengajak bagaimana sumbangan yang boleh diberikan oleh pemimpin agama dunia dalam memastikan keamanan sejagat sekiranya berlaku sebatang konflik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni dan menyerahkan sumbangan kepada asnaf pada Majlis Rahmah Syawal MAIWP: Jalinan Aidilfitri Bersama Asnaf di sini hari ini.
NA'IM-ULAMA 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Mohd Na'im berkata perbincangan berhubung penganjuran persidangan setakat ini berjalan lancar dan beliau sendiri telah menghantar surat jemputan kepada menteri-menteri dan rakan sejawat yang memegang portfolio menteri agama Islam.
"Antara jemputan yang telah dihantar adalah kepada Menteri Agama Brunei, Singapura, Indonesia dan Mauritius serta Maghribi dan masih menunggu maklum balas.
"Dalam masa sama, pihak Muslim World League dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah mengenal pasti pemimpin agama dunia untuk dijemput dan akan dikongsikan senarai mereka tidak lama lagi," katanya.
Persidangan Ulama Sedunia akan diadakan di Petaling Jaya, Selangor pada 7 dan 8 Mei ini.
Persidangan pertama dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala hari kedua persidangan ulama peringkat ASEAN akan dirasmikan oleh Mohd Na'im sendiri.
-- BERNAMA