Persidangan Nikkei: Selesaikan konfrontasi dengan perang itu cara primitif - Tun Dr Mahathir
Firdaus Azil
Mei 30, 2019 10:18 MYT
Mei 30, 2019 10:18 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan sebarang pertelingkahan antara negara tidak harus sampai ke peringkat peperangan, kerana itu merupakan cara orang primitif.
Ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-25, di sini pagi ini, beliau berkata, sebaik-baiknya masalah itu harus diselesaikan mengikut kaedah perundangan yang betul, termasuk meja rundingan, arbitrasi, atau terus dibawa ke mahkamah.
“Kini terdapat konflik di mana-mana, dan situasi yang sangat tidak stabil. Sebagai contoh, konfrontasi antara Amerika Syarikat dan China..kita semua terlibat walaupun kita bukan sebahagian darinya. Apabila dua gergasi bergaduh, akhirnya rumput yang menjadi mangsa pijakan.
“Atas sebab itu kita perlukan satu perintah dunia yang baharu (new world order). Yang ada sebelum ini kesemuanya gagal kerana kita berfikir pertelingkahan boleh diselesaikan dengan peperangan. Kali terakhir perang dunia berlaku, hampir tujuh juta manusia terbunuh, tetapi akhirnya kita tidak mencapai apa-apa,” ucapnya lagi.
Dr Mahathir merupakan pemimpin dunia pertama yang berucap di Persidangan Nikkei kali ini, yang mana ianya bertemakan - “Seeking A New Global Order - Overcoming The Chaos”.
Mengambil contoh sejarah konfrontasi antara negara ASEAN dahulu, Dr Mahathir berkata, Malaysia juga mempunyai sejarah dengan beberapa negara jiran, termasuk Singapura, Indonesia, Filipina dan Thailand.
“Apabila kami (negara-negara ASEAN) mencapai kemerdekaan dahulu, berlaku banyak konfrontasi serius.
“Tetapi akhirnya ASEAN kini merupakan rantau yang sangat stabil. Segala pertelingkahan dibawa ke meja rundingan, bukan peperangan. Dan akhirnya rantau ini menjadi sangat aman, dan ekonomi berkembang pesat,” katanya lagi.
Atas sebab itu, Dr Mahathir berkata, ia sepatutnya dicontohi rantau lain, walaupun mungkin ada sedikit pengorbanan terpaksa dilakukan, tetapi akhirnya ia adalah untuk kebaikan kesemua pihak.
“Dan jika kita mahu perintah dunia baharu, kita perlu memastikan pertelingkahan diselesaikan mengikut kaedah perundangan yang betul, agar kita terus dilihat sebagai manusia yang bertamadun,” tegasnya lagi.
#Amerika Syarika vs China
#Amerika Syarikat
#ASEAN
#China
#Mahathir Mohamad
#Perdana Menteri
#Persidangan Nikkei
#Thailand