Persidangan Mesyuarat Kedua Parlimen tidak dilanjutkan - Wan Junaidi
Harits Asyraf Hasnan
Disember 13, 2021 17:21 MYT
Disember 13, 2021 17:21 MYT
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-14 tidak akan dilanjutkan dua hari seperti yang pernah dicadangkan sebelum ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, mesyuarat yang bermula sejak 25 Oktober lalu itu akan tamat pada 16 Disember seperti yang dijadualkan.
Ujarnya, mesyuarat kali ini akan memfokuskan kepada beberapa Rang Undang-Undang (RUU) iaitu Bajet 2022 termasuk meminda beberapa fasal dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Selepas dipertimbang dengan teliti, sebaiknya sesi ini tidak dilanjutkan lantaran sebahagian besar menteri, ahli-ahli Parlimen dan pegawai-pegawai kerajaan telah membuat perancangan awal cuti penghujung tahun.
"Bagaimanapun, saya faham bahawa ramai antara kita telah dalam suasana cuti, saya mengharapkan kerjasama ahli-ahli Parlimen untuk menghadiri sesi yang akan mengundi beberapa RUU yang penting," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Wan Junaidi berkata sembilan RUU dijangka akan dibentang pada sesi akan datang yang dijadualkan bermula pada 28 Februari tahun hadapan.
Antara RUU yang tersenarai adalah reformasi Parlimen yang bakal dikemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada pertengahan Januari dan dibentangkan pada Mac.