Persidangan kuasa dan tenaga utama ASEAN, Enlit Asia, kembali ke Malaysia minggu depan
Bernama
September 30, 2024 23:22 MYT
September 30, 2024 23:22 MYT
KUALA LUMPUR: Enlit Asia, satu-satunya persidangan kuasa dan tenaga utama di rantau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), akan berlangsung di sini dari 8 hingga 10 Okt depan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, dijangka menyampaikan ucapan perasmian pada persidangan tahunan itu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
"Bertemakan 'Enabling a Multidimensional Energy Transition in ASEAN', Enlit Asia mengambil inspirasi daripada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Malaysia dan menyasarkan untuk memupuk kerjasama yang lebih besar merentasi industri serta sempadan bersesuaian dengan landskap tenaga yang unik di rantau ini," demikian menurut Pengarah Portfolio Tenaga Clarion Events Simon Hoare dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Malaysia, sebagai kuasa ekonomi di Asia Tenggara, telah membina asas yang kukuh sebagai pelopor dalam sektor tenaga bersih dan boleh diperbaharui dengan 28 peratus terdiri daripada industri intensif tenaga dalam keluaran negara kasarnya.
Persidangan tiga hari itu, yang dianjurkan oleh Clarion Events dengan sokongan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Tenaga Nasional Berhad, akan menampilkan lebih 400 penceramah dan 350 pempamer dari Asia Tenggara yang terlibat dalam sektor tenaga.
Edisi pertama Enlit Asia telah berlangsung di Kuala Lumpur pada 2019.
-- BERNAMA