Persidangan Kebangsaan OKU 2016 di Langkawi minggu depan
Bernama
Februari 19, 2016 08:21 MYT
Februari 19, 2016 08:21 MYT
Empat teras utama melibatkan pembangunan sosio ekonomi, pendidikan, modal insan dan kebajikan akan dibincangkan pada Persidangan Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya di Langkawi dari 26 hingga 28 Feb ini.
Persidangan anjuran Yayasan Inklusif Komuniti Outreach Langkawi (LICOF) dengan sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu bertujuan untuk memastikan golongan OKU diberikan ruang yang inklusif dalam aktiviti arus perdana masyarakat harian.
Pengasas bersama LICOF, Sharifah Maria Alfah Al Khudri berkata persidangan tersebut akan membincangkan serta melihat semula kaedah sokongan dan bantuan yang diberikan kepada golongan OKU di negara ini.
"Kaedah penambahbaikan sistem sokongan dan bantuan yang sedia ada akan turut dibincangkan pada persidangan kali ini," katanya pada sidang media di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, pengasas SilverSpoon International College (SSiC), Zamzani Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai Chef Zam, berkata pihaknya akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan LICOF bagi menawarkan kursus kemahiran dalam pembuatan bakeri dan pastri kepada golongan OKU terpilih.
"Memang kita buat bisnes mencari keuntungan tetapi pada masa yang sama kita juga harus melaksanakan tanggungjawab sosial korporat, kerana dengan cara itulah kita sama-sama dapat membangunkan negara," katanya pada sidang media yang sama.