Persidangan ESSCOM platform rakyat dapat maklumat tepat

Astro Awani
April 1, 2013 07:00 MYT
Persidangan Transformasi Politik mengenai Keselamatan dan Zon Selamat Timur Sabah (ESSCOM) yang bakal berlangsung Rabu ini dilihat sebagai sebuah platform untuk rakyat mendapatkan maklumat sebenar berhubung krisis di Lahad Datu.
Ketua Pegawai Eksekutif Razak School of Government (RSOG), Prof Madya Dr Hamidin Abdul Hamid berkata, persidangan ini membolehkan masyarakat mengetahui maklumat tepat serta memberi maklum balas.
“Pada persidangan ini, rakyat juga dapat memberi pendapat apakah jalan yang terbaik boleh diambil bagi mendapatkan satu penyelesaian jangka masa panjang berhubung krisis di Sabah ini,” kata Hamidin.
Menurut beliau, antara tujuan penubuhan ESSCOM adalah bagi mendapatkan kepelbagaian pendekatan, memastikan keselamatan negara, sosio ekonomi, aspek perundangan serta mendapatkan keseragaman maklumat.
“Kerangka ESSZONE ditubuhkan bagi memastikan dengan sistem perundangan sedia ada, kita tidak perlu membuat satu perundangan baru serta memastikan kelangsungan hidup berjalan seperti biasa.
“Selain itu, ia mempunyai ciri-ciri penyusunan semula masyarakat sosio ekonominya, penempatan semula dan sebagainya,” Hamidin menambah pada program Agenda Awani yang membincangkan mengenai ESSZONE dan Transformasi Politik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan Buku Negara (IBTN), Mohamad Khair Ngadiron berkata, persidangan ini dapat memberi ruang kepada masyarakat mendapat fakta sebenar.
“Masyarakat tidak mendapat maklumat tepat memandangkan ada pihak yang melontarkan pandangan sendiri menerusi media sosial.
“Jadi, mereka tidak melihat perkara ini sebagai satu perkara yang benar dan mengeluarkan pandangan sendiri berdasarkan emosi dan aspek politik,” kata Khair.
Beliau menambah, persidangan ini amat penting bagi masyarakat meluahkan rintihan serta pandangan dalam mendapatkan jalan yang terbaik berhubung krisis ini.
“IBTN aktif menyokong Jabatan Peguam Negara serta RSOG dalam mendekatkan diri dengan rakyat dalam membincangkan isu-isu semasa serta perkara-perkara yang akan menentukan hala tuju Negara kita,” tambah beliau.
#Agenda Awani #ESSCom #Lahad Datu #Ops Daulat #pasukan keselamatan #pengganas Sulu
;