Persidangan DUN Pulau Pinang ditangguh
Bernama
Jun 3, 2022 17:08 MYT
Jun 3, 2022 17:08 MYT
GEORGE TOWN: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang berlangsung sejak 27 Mei lepas ditangguhkan hari ini ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Sepanjang persidangan enam hari itu, 71 soalan lisan, 655 soalan bertulis dan tiga usul dikemukakan.
Usul tergempar dibawa oleh Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk) dan disokong oleh Ong Ah Teong (PH-Batu Lanchang) yang mendesak Kerajaan Persekutuan menangani kenaikan kos sara hidup dan sekuriti makanan yang menghimpit rakyat dan menjejaskan pembangunan ekonomi yang mampan.
Usul itu dibahaskan kira-kira dua jam oleh lapan ADUN sebelum ia diluluskan sebulat suara oleh anggota dewan.
Persidangan kali ini juga menyaksikan usul ucapan Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak diluluskan sebulat suara selepas 11 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selesai menggulung perbahasan.
Hari terakhir persidangan turut menyaksikan usul yang dibawa Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Prof Dr. P. Ramasamy dan disokong oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkenaan pelantikan ahli-ahli Lembaga Rayuan di Bawah Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010.
Prof Ramasamy mencadangkan pelantikan Wong Chiang Kiat sebagai pengerusi, Datuk Seri Syed Jaafar Syed Ali sebagai timbalan pengerusi, manakala Datuk Ajit Singh Jessy, Datuk Murelidaran M. Navaratnam, Datuk Agatha Foo Tet Sin dan Regina Amalorpava Mary sebagai ahli lembaga mula 1 Jun 2022 sehingga 31 Mei 2024.
Usul tersebut diluluskan sebulat suara oleh anggota dewan.
-- BERNAMA