Persidangan DUN Johor sebulat suara lulus Belanjawan 2023
Bernama
Disember 11, 2022 16:49 MYT
Disember 11, 2022 16:49 MYT
ISKANDAR PUTERI: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Ahad sebulat suara meluluskan Belanjawan Johor 2023 yang bertemakan 'Maju Johor: Makmur Bersama Rakyat' dengan unjuran perbelanjaan kira-kira RM1.731 bilion.
Ia adalah belanjawan lebihan sebanyak RM2.44 juta berbanding hasil negeri yang dijangka berjumlah kira-kira RM1.734 bilion pada tahun hadapan.
Belanjawan Johor 2023 dibahaskan selama tujuh hari bermula 1 Disember dengan membabitkan 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Perkara itu dimaklumkan oleh Speaker DUN Johor Datuk Mohd Puad Zarkashi pada hari terakhir persidangan kali ini di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini.
Terdahulu, semasa menyampaikan ucapan penggulungan, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata belanjawan 2023 diunjurkan sebagai belanjawan lebihan setelah dua tahun negeri ini mencatatkan belanjawan defisit, impak daripada sokongan fiskal yang besar yang perlu dilakukan demi menghadapi pandemik COVID-19.
"Bagi 2023, kemampuan fiskal kerajaan negeri dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan pasaran perlu diambil kira bagi memastikan perancangan segala inisiatif dapat dilaksanakan dengan membawa hasil kepada pemberat keutamaan negeri melalui teras yang telah digariskan.
"Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga bertanggungjawab dan komited memastikan impak daripada ketidaktentuan ekonomi kepada rakyat dapat dikawal dan diserap sebaik mungkin agar kesannya dapat diminimumkan," katanya.
Beliau berkata justeru, kawalan fiskal lebih ketat perlu dilaksanakan bagi memastikan kedudukan rizab negeri dalam keadaan baik.
Onn Hafiz yang juga Adun Machap berkata belanjawan 2023 yang mempunyai enam teras, 26 strategi dan 110 inisiatif itu telah melalui proses saringan, sesi 'makmal daerah' di daerah-daerah dan sesi pemukiman agar hala tuju dan keutamaannya diteliti dan diperhalusi dengan sebaiknya.
"Namun, ia akan terus ditambah baik dengan maklum balas yang diberikan oleh ahli-ahli Yang Berhormat, demi rakyat dan demi negeri Johor tercinta ini," katanya.
Beliau berkata Belanjawan Johor 2023 telah digubal dengan mengambil kira semua pandangan serta maklum balas pelbagai pihak berkepentingan demi memastikan agenda Maju Johor 2030 dapat direalisasikan.
Pada 1 Dis lepas, Onn Hafiz membentangkan Belanjawan Johor 2023 yang merupakan belanjawan lebihan RM2.44 juta selepas dua tahun berturut-turut mengemukakan belanjawan defisit.
Kali terakhir kerajaan Johor membentangkan belanjawan lebihan adalah menerusi Belanjawan 2020 pada November 2019.
-- BERNAMA