Persidangan Dewan Negara ditangguh
Bernama
Disember 23, 2021 19:26 MYT
Disember 23, 2021 19:26 MYT
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-14 Dewan Negara yang berlangsung sejak 8 Dis lepas ditangguh ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Sepanjang persidangan 10 hari itu, Dewan Negara meluluskan sebanyak 16 rang undang-undang serta usul bagi mengungkai tujuh ordinan darurat, selepas kesemua rang undang-undang dan usul tersebut dibentang dan dibahas para senator.
Rang undang-undang yang diluluskan itu ialah Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021; RUU Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2021; RUU Perihal Dagangan (Pindaan) 2021; RUU Lembaga Angkasa Malaysia 2020; RUU Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020; RUU Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020 dan RUU Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021.
Turut diluluskan RUU Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021; RUU Perbekalan 2022; RUU Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021; RUU Paten (Pindaan) 2021; RUU Hak Cipta (Pindaan) 2021 dan RUU Petunjuk Geografi 2021.
Sementara tiga lagi rang undang-undang iaitu RUU Perlembagaan (Pindaan) 2021; RUU Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021 serta RUU Kewangan 2021 diluluskan di Dewan Negara hari ini.
Dewan Negara turut sebulat suara meluluskan usul bagi mengungkai tujuh ordinan darurat selepas ia dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan dibahaskan oleh enam Ahli Dewan Negara.
Ia meliputi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021.
Selain itu, ia turut meliputi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021; dan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim sebelum mengumumkan penangguhan tersebut mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada semua yang beragama Kristian dan Selamat Tahun Baharu kepada semua Ahli Dewan Negara.
"Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan 'Merry Christmas' kepada semua beragama Kristian dan Selamat Tahun Baharu kepada semua ahli-ahli, sejahtera hendaknya dan 2022 lebih hebat bagi Malaysia," katanya.
-- BERNAMA