Persidangan Antarabangsa MAAFIM 2023 beri ilmu kepada pakar perubatan
Fareez Azman
September 17, 2023 17:36 MYT
September 17, 2023 17:36 MYT
KUALA LUMPUR: Mewujudkan kesedaran rakyat serta pengamal perubatan untuk menyembuhkan penyakit dan bukannya mengawal penyakit.
Itu antara intipati persidangan antarabangsa anjuran Persatuan Perkembangan Perubatan Fungsional Interdisplin Malaysia (MAAFIM) buat tahun ketiga di ibu negara, pada Ahad.
Wujud kesedaran
Menurut Presidennya, Dr Paramjit Kaur, bertemakan 'Kaedah Yang Lebih Baik', lebih 350 pengamal perubatan dan peserta tempatan dan antarabangsa terlibat dalam persidangan itu kali ini.
"Lebih 350 peserta hadir pada persidangan kali ini. Kali pertama dijalankan, lebih 200 peserta terlibat dan kedua pun lebih 200 peserta, tapi tahun ini lebih ramai peserta.
"Saya rasa budaya untuk kita promosi perubatan fungsional untuk menyembuhkan penyakit daripada puncanya. Kita bukan sahaja nak bagi rawatan biasa, kita nak gabungkan rawatan lain untuk berikan kesembuhan kepada pesakit," katanya.
Ubah persepsi Doktor
Bertempat di Hotel Palace of The Golden Horses, persidangan bermula 14 September itu, jelas Dr Paramjit, dilihat berjaya memberi ilmu baharu kepada setiap pakar perubatan.
Bukan hanya pakar perubatan tempatan, malah persidangan kali ini, jelasnya, turut dihadiri pakar perubatan dari Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Filipina dan India.
"Saya sedar sejak tahun 1996, pada tahun 1990 saya sudah buka klinik. Ketika itu saya dan suami sudah tahu bukan cara untuk doktor dengan hanya memberi ubat semata-mata.
"Kita kena lebih pandai, kena belajar lagi dan berfikir di luar kotak - bagaimana untuk mendapatkan lebih ilmu. Persidangan ini dibuat tujuan untuk menyampaikan ilmu-ilmu kepada doktor supaya mereka boleh memberi pendedahan lebih baik kepada pesakit mereka," katanya lagi ketika ditemui Astro AWANI pada Ahad.
Rawatan Apiterapi
Selain perubatan moden, pengamal perubatan alternatif juga terlibat dalam persidangan itu.
Bagi pengamal perubatan apiterapi, Rosli Khalid, kaedah bisa lebah dalam mengubati penyakit kronik semakin diterima masyarakat.
"Sebenarnya ramai yang sedang mencari rawatan alternatif. Apabila penganjur tahu mengenai perkara ini, mereka minta saya terlibat untuk dengar (membentangkan) apa itu apiterapi.
"Ramai peserta yang terkejut bahawa ada kaedah lain yang boleh sembuhkan penyakit," katanya.
Selain kajian yang dijalankan jelas Rosli, perubatan bisa lebah yang telah diamalkan ribuan tahun dahulu itu semakin diterima pengamal perubatan moden terutama dari luar negara.
"Mereka bertanyakan bagaimana apiterapi ini dilakukan. Selalu ramai orang sedar dengan kaedah lain tetapi tidak biasa dengan bisa lebah.
"Macam mana bisa lebah membantu terutama pesakit kanser paru-paru? Mengikut kajian, kandungan Melittin yang ada dalam bisa lebah yang buat kita sakit itu membunuh sel kanser dalam masa 60 minit.
"Begitu juga penyakit-penyakit lain. Bisa lebah tak ada satu yang negatif. Ia merangsang tindak balas penyembuhan secara semula jadi," jelasnya.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati, pelbagai produk perubatan canggih dipamerkan sepanjang persidangan berlangsung.
Antara menarik perhatian, mesin 'Voice Over for Health' iaitu mesin mengenal pasti masalah kesihatan, mental dan emosi pesakit serta beberapa mesin-mesin perubatan baharu yang menggunakan kecerdasan buatan (AI).