Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama ruang ke arah kerjasama, persefahaman

Bernama
Mei 7, 2024 19:00 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (dua, kiri) menyantuni tetamu pada Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama Sedunia 2024 di Petaling Jaya hari ini. - Foto BERNAMA
PETALING JAYA: Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 hari ini diharap dapat membuka ruang yang lebih luas ke arah kerjasama dan persefahaman lebih baik dalam kalangan pemimpin agama dan pengikutnya pada masa depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata persidangan itu juga dapat menjadi asas perpaduan yang lebih harmoni dan kukuh dalam kalangan masyarakat pelbagai agama, etnik dan budaya.
"Permuafakatan dalam kalangan pemimpin agama dalam menangani tindakan ekstremis dan radikal, serta menolak segala bentuk penganiayaan, penindasan, keganasan dan peperangan, akan mewujudkan keselamatan dan keamanan dalam masyarakat.
"Diharapkan persidangan ini akan mencapai objektif," katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 di sini hari ini, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mohd Na'im berkata penyertaan pemimpin agama, ahli politik dan ahli akademik dari seluruh dunia menunjukkan kepelbagaian agama bukanlah penghalang untuk duduk bersama bagi merealisasikan perpaduan dan keharmonian dalam komuniti.
"Objektif yang digariskan melalui tema 'Kesatuan Dalam Kepelbagaian' adalah untuk menggerakkan usaha pemimpin agama dan politik menonjolkan peranan penting agama dalam menggalakkan keamanan dan menyelesaikan konflik.
"Serta untuk mengukuhkan solidariti dan rasa hormat dalam kalangan masyarakat dan budaya berbeza sambil menangani cabaran dan memerangi keganasan, sikap tidak bertoleransi dan diskriminasi kaum," katanya.
Menurut Mohd Na'im, semasa persidangan yang dianjurkan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Liga Dunia Muslim itu, semua peserta meneroka kaedah kerjasama yang membuahkan hasil untuk menggalakkan dialog peradaban serta cinta dan keamanan dalam kalangan masyarakat di rantau ini.
"Persidangan juga akan mengetengahkan aspek praktikal Piagam Makkah yang bersejarah melalui inisiatif yang dapat menyumbang kepada pendidikan, bantuan kemanusiaan dan pembangunan.
"Persidangan turut menekankan nilai-nilai agama yang mulia dan prinsip kemanusiaan yang dikongsi bertujuan mencapai kewarganegaraan yang bermaklumat," katanya.
Turut hadir pada acara itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste Mariano Assanami Sabino Lopes serta Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa.
Hadir sama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
-- BERNAMA
#Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama #kerjasama #persefahaman #Mohd Na'im Mokhtar
;