Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 berlangsung hari ini

Bernama
Mei 7, 2024 09:20 MYT
Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024, disifatkan sebagai paling penting dianjurkan oleh benua Asia, dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Facebook JAKIM
KUALA LUMPUR: Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 berlangsung hari ini di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, dengan menarik penyertaan hampir 2,000 ulama dan cendekiawan dari 57 negara.
Disifatkan sebagai persidangan antarabangsa ketua-ketua agama paling penting dianjurkan oleh benua Asia, persidangan berkenaan dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dihadiri Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa.
Dalam prakata buku acara berkenaan, Perdana Menteri berkata tema persidangan "Kesatuan Dalam Kepelbagaian", sangat penting memandangkan ia satu daripada isu mendesak pada masa ini dengan pandangan hidup yang dikaitkan dengan ketidaksepakatan, perselisihan dan perpecahan.
"Di sebalik kemajuan globalisasi dalam setengah abad ini dan penggunaan Internet yang meluas, kita menyaksikan perpecahan meningkat dalam masyarakat. Tiada satu hari pun yang berlalu tanpa kita mendengar tentang konflik komunal, agama mahupun politik," katanya.
Anwar berkata muhasabah diri yang jujur terhadap kekurangan masa lepas merupakan satu-satunya cara untuk ke hadapan, manakala cabaran sosioekonomi yang merupakan punca ketidakpuasan hati pada masa ini perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh, telus serta saksama.
Menurut Perdana Menteri pemimpin mempunyai tanggungjawab moral untuk memperbaiki perpecahan yang wujud dalam kalangan masyarakat menerusi nilai-nilai sejagat dan egalitarianisme serta pemikiran sempit perlu diganti dengan kemajuan fikiran.
"Kita mesti melangkaui perbezaan pada zahir seperti warna kulit, bahasa yang kita tuturkan dan agama yang kita anuti," katanya sambil menambah kepimpinan sejati terletak pada kemampuan untuk melihat melangkaui perbezaan terbabit.
Anwar turut yakin bahawa landskap kepelbagaian sosial Malaysia bertepatan dengan persidangan berkaitan persefahaman dan perpaduan itu.
Persidangan sehari berkenaan akan disusuli dengan Persidangan Majlis Ulama Asia di Hotel Mandarin Oriental di sini pada Rabu.
Kedua-dua persidangan itu dianjurkan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama MWL.
-- BERNAMA
#ketua agama #Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 #JAKIM #Anwar Ibrahim
;