Persiapan Tahun Melawat Malaysia 2020 kini 60 peratus siap - Mohamaddin
Madiha Abdullah
Jun 29, 2019 10:37 MYT
Jun 29, 2019 10:37 MYT
Persiapan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM20) kini berjalan lancar, dengan 60 peratus perancangan sudah disempurnakan.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Mohamaddin Ketapi memaklumkan, persiapan memberi tumpuan bukan sahaja pelancong dari luar negara, tetapi juga turut memberi fokus kepada pelancong domestik.
"Dari segi perhubungan atau connectivity, kita melakukan kerjasama dengan beberapa syarikat penerbangan antaranya seperti Air Arabia dari Serbia, IndiGo (India) dan Condor dari Jerman.
"Berkenaan logo, kami sasarkan ia akan dilancarkan dalam tempoh terdekat, iaitu bulan depan," katanya.
Sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, negara mencatat hampir enam juta pelancong, dengan tukaran wang bernilai kira-kira RM21.4 bilion.
Tambah Mohamadin lagi, kementerian juga akan menyegerakan persiapan papan iklan sebagai salah satu langkah untuk menggalakkan lagi promosi TMM20.
Beliau ditemui selepas selesai acara malam Pesta Kebudayaan Malaysia-Thailand di Narathiwat, Thailand, pada Jumaat.
Menyentuh tentang pesta yang merupakan acara tahunan itu, Mohamadin menyifatkan ia satu kejayaan bukan sahaja dalam usaha mengeratkan hubungan dua negara, tetapi juga menjadi langkah efektif dalam menguar-uarkan berkenaan TMM20.
"Apa yang dipamerkan dalam persembahan malam ini mewakili yang terbaik dari kedua-dua negara.
"Dengan adanya acara seperti ini, penduduk di sini akan lebih faham dan tertarik untuk datang ke Malaysia," ujarnya.
Acara pesta kebudayaan itu adalah sebahagian daripada Pesta Kebudayaan dan Sukan Malaysia-Thailand.
Ia diadakan selama dua hari bermula 28 Jun di wilayah Narathiwat dan membabitkan persembahan kebudayaan dan pertandingan sukan dengan penglibatan peserta dari kedua-dua buah negara.
#Malaysia
#Menteri Pelancongan Keseniaan dan Kebudayaan
#Mohamaddin Ketapi
#pelancong
#pelancongan
#Tahun Melawat Malaysia 2020
#Thailand
#TMM20