Persiapan Tahun Baru Cina, pengguna lebih sederhana

Tan Su Lin
Januari 28, 2014 10:06 MYT
Masyarakat Cina bakal bersederhana menyambut tahun baru, sesuai dengan kenaikan beberapa harga barangan keperluan pada masa ini.
Tinjauan Astro Awani mendapati, kebanyakkan mereka sudah bersedia untuk mengurangkan perbelanjaan dan membeli barangan yang perlu sahaja untuk sambutan tahun baru.
Bagaimanapun, kemeriahan sambutan tahun kuda tetap dirasakan bila ahli keluarga berkumpul terutama pada malam sebelum sambutan tahun baru.
"Orang ramai kurang membeli, kerana harga barang naik .. kurang celebration, barang semua kurang (dibeli)." kata Tan Ah Kee.
Lee Sok Chan pula berharap harga barangan akan dikawal untuk elak ia dinaikkan sewenang-wenangnya.
"Mintalah harga turun, jangan naik lagi. Kita cari makan susah, pakaian boleh kurang, makan tidak boleh kurang, jalan tidak boleh kurang. Teksi mahal. Kita raya slow motion tidak mengapa." keluh Lee.
Rata-rata melihat keperluan mengurangkan perbelanjaan bagi Tahun Baru Cina susulan harga barangan yang naik.
"Kira ok tapi tidak serupa tahun lalu tengok ekonomi semua tambah dua kali, macam harga tinggi, susah beli barang susah, meniaga pun susah." kata Pang Kuai Tai.
Sementara itu, para peniaga yang ditemui di sekitar Chinatown di Jalan Petaling, Kuala Lumpur didapati tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Ia sekaligus menjadikan Jalan Petaling, antara lokasi popular membeli belah dalam kalangan masyarakat Tiong Hua kerana barangan dijual pada harga berpatutan.
Malah tinjauan Astro AWANI mendapati beberapa kedai di Jalan Sultan menawarkan potongan harga antara 20 hingga 50 peratus untuk meningkatkan jualan.
"Harga barang tak mahal, kita ada promotion banyak orang beli lah. Ada promotion banyak orang beli, murahlah ada 50 peratus, banyak tengok customer mari kita tidak ada naik, kasi jual banyak, jadi jual banyak untung, banyak bolehlah jual murah sikit." kata Chong Poh Fah yang menjual barangan hiasan Tahun Baru Cina.
"Saya selalu datang ke sini setiap tahun untuk membeli persiapan Tahun Baru Cina kerana barangan di sini lebih murah. Tempat lain hanya ada 20 peratus tetapi kedai-kedai di sini menawarkan harga sehingga 50 peratus." kata seorang pembeli.
Namun ada yang melihat biarpun ada harga barangan yang naik pengguna tetap akan membeli keperluan untuk Tahun Baru Cina.
"Masyarakat Cina percaya untuk Tahun Baru Cina, semua barangan mestilah baru dan merah supaya membawa lebih tuah. Jadi mereka tidak kisah sedikit peningkatan harga." kata peniaga, Shirley Tang.
Bagaimanapun ada yang mengakui disebabkan kos sara hidup yang meningkat, pengguna semakin berjimat dalam berbelanja untuk persiapan Tahun Baru Cina.
"Kami melihat pembeli lebih berjimat cermat dalam perbelanjaan mereka baru-baru ini. Bagaimanapun kami masih menaruh harapan kerana ia masih Tahun Baru Cina dan orang ramai ingin menyambut dalam suasana gembira. Jadi mereka masih berbelanja untuk barangan seperti tanglung, bunga dan potongan kertas walaupun tidak dinafikan mereka lebih berjimat cermat." kata peniaga, Jean Lau.
Namun, di sebalik sikap berjimat cermat pengguna, perniagaan menjelang sambutan Tahun Baru Cina tetap baik.
#Petaling Street #Tahun Baru Cina #tanglung
;