Persiapan solat Aidilfitri dalam normal baharu berjalan lancar

Adie Sufian Zulkefli
Mei 23, 2020 10:35 MYT
Bagi Sallehudin, walaupun telah 15 tahun memimpin jemaah, Aidilfitri kali ini merupakan satu pengalaman baharu buatnya. -Astro AWANI/Adie Sufian Zulkefli
Hari Raya Aidilfitri akan disambut umat Islam seluruh negara esok.
Bagi Jawatankuasa Masjid Az Zaiton, Bukit Pinang segala persiapan dilakukan dengan cara baharu bagi menyambut jemaah yang bakal menunaikan solat sunat Aidilfitri di situ.
Namun bagi imam Masjid Az Zaiton, Sallehudin Said, 65, walaupun telah 15 tahun memimpin jemaah, Aidilfitri kali ini merupakan satu pengalaman baharu.
Susulan wabak COVID-19 yang melanda dunia, segala persiapan perlu dilakukan lebih terperinci mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).
Katanya, ruang solat telah disanitasi dan tempat solat turut ditanda mengikut jumlah jemaah termasuk imam dan khatib tidak melebihi 12 orang.
Buku pendaftaran serta alat pengimbas suhu turut diuji dalam keadaan baik supaya tidak berlaku sebarang masalah kelak.
"Seorang imam yang bertanggungjawab terhadap masyarakat, terutamanya yang berkaitan ibadah dan diperintah oleh Allah, apabila mendapat kelonggaran untuk datang ke masjid, kita berasakan adalah satu nikmat daripada Allah yang mengajar kita supaya kita bertakwa kepadanya. Wallahualam," kata Sallehudin.
Malah, menurutnya ketika Aidilfitri disambut dalam keadaan negara masih berperang dengan wabak COVID-19, setiap manusia perlu ada disiplin diri dan kawalan kendiri.
"Buat masa ini, tidak perlulah kita bergantung kepada peraturan dan SOP sahaja, kawalan kendiri itu lebih penting.
"Kita akur dengan keputusan dan kita ikut arahan jika ada yang datang semua kita hadkan dan tak dibenarkan masuk beramai-ramai, sekadar di tepi pagar," kata Sallehudin lagi.
Selain menetapkan solat Aidilfitri dengan hanya 12 jemaah, umat Islam di negeri ini dilarang menziarahi tanah perkuburan dalam usaha mengekang penyebaran pandemik COVID-19.
Larangan itu dibuat berdasarkan ketetapan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
#Aidilfitri #alat pengimbas suhu #Bukit Pinang #disanitasi #koronavirus #MAIK #Majlis Agama Islam Negeri Kedah #Masjid Az Zaiton #ruang solat #Sallehudin Said #Solat sunat Aidilfitri #umlah jemaah
;