Persiapan saat akhir sesi persekolahan 2013
Azyyati Ahmad
Disember 29, 2012 09:00 MYT
Disember 29, 2012 09:00 MYT
Hanya tinggal beberapa hari saja lagi sebelum sesi persekolahan 2013 bermula, tinjauan Astro Awani pada Jumaat mendapati bahawa masih ada lagi ibubapa yang mengambil peluang ini untuk membeli keperluan anak-anak mereka ke sekolah.
Wartawan Awani sempat melihat keadaan di salah sebuah tumpuan kebanyakkan ibubapa untuk mencari keperluan sekolah anak-anak iaitu di jalan Tuanku Abdul Rahman, TAR.
Rata-rata ibubapa yang ditemui sedang membuat persiapan saat akhir dan ada juga yang baru mahu memulakan persiapan.
Seperti Marjeet Kaur, 40, persiapan untuk anak-anak ke sekolah telah diadakan dua minggu yang lalu.
Dia sengaja memilih untuk membuat persiapan saat akhir kerana lebih mudah mendapat saiz yang tepat untuk ukuran baju anak-anak memandangkan pada cuti sekolah berat badan anak-anak mungkin akan naik.
Menurutnya lagi, pusat membeli-belah Sogo di Jalan TAR adalah pilihannya setiap tahun ini kerana harganya yang murah dan berpatutan.
Wartawan Awani juga telah meninjau keadaan di beberapa kedai buku di sana. Menurut salah seorang bapa yang kami temui Mohd Darurat Saleh, 43, berkata, dia ke Jalan TAR adalah untuk mencari buku latihan anaknya oleh kerana di situ terdapat banyak pilihan kedai buku.
Selain daripada itu, ada juga yang mencuri masa bekerja untuk membuat persiapan akhir anak-anak.
Seperti Shahida, 32, dan Kartini, 35, waktu makan tengahari digunakan sepenuhnya untuk mencari barang-barang yang masih belum sempat dibeli.
Jalan TAR dipilih untuk membuat persiapan akhir anak-anak kerana ianya berdekatan dengan pejabat mereka bekerja.
Keadaan di kedai-kedai utama di sepanjang Jalan TAR didapati tidaklah begitu sesak, berkemungkinan kerana hari ini bukanlah hari minggu atau cuti am.
Kebanyakkan ibubapa yang ditemui berkata mereka mengambil masa lebih kurang tiga hingga empat minggu untuk membuat persiapan lengkap anak-anak ke sekolah.
Sesetengah berkata mereka membelanjakan sehingga RM1000 untuk seorang anak ke sekolah yang turut merangkumi yuran dan buku sekolah.
Sesi persekolahan akan bermula pada 2 Januari ini.